15:32
0

White Chinese Geese.

Asal Usul.
Angsa Putih merupakan salah satu spesis angsa yang bersaiz kecil dengan berat purata sekitar 5kg dan dipercayai berasal dari negara China, namun angsa jenis ini telah lama berkembang-biak diMalaysia. Ia mempunyai keseluruhan bulu badan berwarna putih, manakala paruh dan kakinya berwarna oren. Ianya merupakan baka kacukan antara angsa tempatan China dan angsa Swan liar. Keunikan angsa Putih China ini terletak pada benjolan pada bahagian atas paruhnya yang mana tidak terdapat pada angsa-angsa jenis yang lain terutamanya dari negara-negara barat. Ia juga tidak mampu terbang sepertimana spesis angsa Swan yang hidup dengan berhijrah dari suatu tempat ketempat yang lain mengikut musim. Terdapat juga angsa Putih yang bersaiz besar dengan berat badan boleh mencapai sekitar 10kg yang mana dipercayai terhasil daripada kacukan antara spesis angsa Toulouse (Perancis), Embden (Jerman), angsa Afrika atau mana-mana spesis angsa yang lain.

Pemakanan.
Angsa jenis ini mudah dipelihara dan boleh menerima pelbagai jenis makanan seperti dedak ayam, jagung, padi, beras, nasi, gandum, sayur-sayuran, buah-buahan, baja ikan (perut & kepala ikan), daun & umbuk batang pisang, rumpai air dan pelbagai lagi. Walaubagaimanapun, diet pemakanan utamanya adalah rumput hijau, termasuk juga rumput napier.

Pembiakan.
Tempoh matang bagi angsa Putih adalah seawal usia 6 bulan. Kebiasaannya angsa jenis ini lebih suka mengawan ketika berada diatas air sahaja iaitu sewaktu mandi didalam kolam atau bekas air mandian yang disediakan. Yang jantan akan mengeluarkan suara dengan nada yang agak panjang menandakan ianya berjaya mengawan dengan yang betina. Proses mengawan tersebut berlaku hampir setiap hari sehinggalah angsa betina tersebut mula bertelur dan mengeram. Yang betina akan mula mengeluarkan telur setelah kira-kira 10 hari dari tarikh mengawan yang pertama. Jumlah pengeluaran telur pula bergantung kepada kualiti baka dan pemakanannya. Lazimnya induk angsa Putih milik saya (lihat gambar diatas) mampu mengeluarkan telur antara 8-10 biji sepusingan dengan kekerapan bertelur sebanyak 3 kali setahun (kira-kira 24-30 biji setahun). Ia juga pandai mengeram dengan peratus penetasan mencecah sehingga 100%. Kebiasaannya ia hanya memilih lokasi sarang yang sama untuk bertelur. Tempoh pengeramannya pula akan mengambil masa selama 30 hari manakala tempoh penetasan adalah sekitar 1 hingga 2 hari. Manakala yang jantan tidak melakukan pengeraman dan hanya menjaga keselamatan disekitar kawasan sarang. Sekiranya terdapat penceroboh atau pemangsa, ia akan mengeluarkan bunyi amaran kepada yang betina. Dihari akhir pengeraman, yang jantan akan lebih banyak meluangkan masa dengan berada berhampiran dengan sarang bagi mengawasi sebarang bentuk bahaya yang mungkin akan mengancam keselamatan anak-anaknya yang bakal menetas. Pada masa tersebut juga, angsa jantan ini akan menjadi sangat garang dan akan menyerang sesiapa atau apa sahaja yang cuba mendekati sarangnya itu, bahkan sekiranya terdapat ibu ayam atau itik yang sedang mengeram dikawasan sekitar sarangnya itu, pasti akan diserang dan diusirnya. Setelah kesemua anak-anak angsa itu menetas dan bulunya telah kering, saya akan mengasingkan daripada ibunya dengan meletakkannya didalam reban khas. Hanya kadang-kadang sahaja anak-anak angsa ni dilepaskan untuk bersama dengan ibunya, itu pun nak kena pantau juga sebab kawasan reban saya ni ada banyak pemangsa terutamanya burung sewah dan helang. Kalau disebelah malam pulak, pemangsanya terdiri daripada burung hantu, musang, ular sawa, babi dan sebagainya. Untuk makluman, angsa memang takut dengan babi dan akan cuba lari dan menyembunyikan dirinya bilamana melihat kelibat babi. Babi pulak memang suka makan angsa - kenyataan ini diambil berdasarkan pengalaman daripada beberapa penternak angsa.

Manfaat Memelihara Angsa.
Selain untuk hiasan, angsa jenis ini juga dipelihara khusus untuk tujuan menjaga keselamatan rumah, kebun atau ladang ternakan kerana ia akan mengeluarkan bunyi bising tatkala melihat seseorang terutamanya pencuri yang cuba memasuki kawasan persekitarannya, bahkan terdapat juga angsa yang sangat garang dan akan mengejar sesiapa sahaja yang cuba mendekatinya. Secara umumnya, kebanyakan angsa Putih adalah lebih jinak dan lebih mahal harganya berbanding angsa Kelabu.


Anak angsa yang baru menetas.

Angsa putih jantan baka besar. Jinak & garang.
Newer Post
Previous
This is the last post.

0 comments:

Post a Comment