00:30
1


DiMalaysia, ada sebuah forum yang salah seorang ahlinya menyatakan bahawa seorang individu yang agak alim telah memberitahunya.. "Sekiranya seseorang memelihara angsa dirumah, maka malaikat tidak akan memasuki rumahnya". Kenyataan ini telah dipertikaikan oleh beberapa ahli forum yang lain dan salah seorangnya menyatakan bahawa pendapat tersebut mungkin berdasarkan kepada salah satu Mazhab yang melarang pengikutnya memakan atau membunuh angsa yang dianggap sebagai haiwan dua alam. Tak pasti pulak saya ada Mazhab yang berpendapat demikian.

Persoalannya.. Apakah yang dimaksudkan dengan "haiwan dua alam"? Adakah kerana sifat haiwan itu yang suka berada didarat dan diair seperti angsa, badak air, memerang, anjing laut dan sebagainya atau adakah kerana kitaran hidupnya yang bermula dengan telur yang menetas didarat tetapi membesar diair seperti kura-kura, penyu, buaya atau pun katak yang bertelur diair, membesar sebagai berudu kemudian menjadi katak dewasa yang boleh hidup diair dan didarat? Bagaimana pula dengan status nyamuk atau burung penguin?

Dari apa yang saya ketahui.. Nabi hanya melarang kita membunuh katak. Ini berdasarkan sebuah Hadis tentang seseorang yang bertanya kepada Rasulullah berkenaan perbuatan memeram katak didalam sejenis cecair untuk dijadikan ubat. Maka Rasulullah memberi jawapan dengan melarang perbuatan membunuh katak tersebut. Tak pasti la pulak sekiranya ada dalil yang menyatakan Nabi juga melarang kita memelihara atau memakan haiwan yang dikategorikan sebagai haiwan dua alam. Kalau ada sekali pun, adakah melarang itu bermaksud mengharamkan atau hukumnya sekadar makruh sahaja? Walau bagaimanapun, sebahagian besar ulamak mengambil pendekatan dengan melarang memakan katak atau haiwan dua alam yang lain. Larangan tersebut pada pendapat saya mungkin dibuat kerana ianya lebih condong kepada perintah Nabi yang melarang membunuh katak tersebut selain tidak mahu menganiaya haiwan yang tidak boleh atau sukar untuk disembelih atau dimatikan memandangkan ianya boleh hidup diair dan juga didarat atau kerana ketidakpastian samada haiwan tersebut patut disembelih atau pun tidak kerana Allah telah berfirman didalam Al-Quran yang bermaksud setiap binatang yang hidup didalam air adalah halal dimakan tanpa perlu disembelih terlebih dahulu, tidak sepertimana haiwan didarat. Selain itu juga, katak merupakan salah satu daripada makhluk Allah yang banyak bertasbih memujiNya sebagaimana yang diriwayatkan didalam Hadis-hadis Nabi terutamanya dalam kisah Nabi Daud. Mungkin atas faktor inilah yang menyebabkan Nabi melarang membunuhnya sekalipun untuk dijadikan ubat, apatah lagi untuk dimakan, atau mungkin juga disebabkan kepercayaan sebahagian masyarakat pada masa itu yang menganggap bahawa katak boleh dijadikan ubat untuk menyembuhkan penyakit sebagai kepercayaan yang karut semata-mata. 

Didalam sebuah rancangan tv berbentuk keagamaan yang dihoskan oleh seorang "ulamak selebriti" tanahair terkemuka, ada seorang ulamak jemputan yang menyatakan bahawa hukum memakan katak adalah Harus. Alasannya Nabi hanya melarang membunuhnya dan bukan melarang memakannya. Walaupun pendapatnya itu boleh difahami, rasanya ramai yang kurang setuju dengan pendapatnya itu, bahkan ianya bertentangan dengan pendapat Imam Syafie yang menjadi pegangan umat Islam diMalaysia khususnya dan termasuklah beliau sendiri. Jadi, adakah patut seseorang yang mengaku dirinya berpegang kepada Mazhab Syafie sedangkan dia mempunyai pendapat tersendiri yang bercanggah dengan Imamnya itu? Walhal, pendapat ulamak terdahulu adalah lebih baik daripada ulamak yang terkemudian sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud "Sebaik-baik umatku adalah yang sezaman denganku, kemudian yang sesudahnya dan seterusnya", bahkan 3 majoriti daripada 4 ulamak terdahulu bersetuju untuk tidak mengharuskan memakan katak.  Dalam Mazhab yang empat yakni Hanafi, Hambali, Maliki dan Syafie, hanya Imam Malik sahaja yang berpendapat hukum memakan katak adalah Harus berdasarkan tiada nas atau dalil khusus yang mengharamkannya. Manakala aliran mazhab Syiah pula berpendapat hukum memakan katak adalah Haram. Pada pendapat saya yang daif ni pula.. kita kenalah bunuh katak tu dulu, barulah boleh dimasak dan dimakan. Apa-apa hal pun nak kena bunuh jugak, tak kiralah dengan cara sembelih ke, langgar dengan kereta ke atau geletek sampai mati ke, yang pasti kita kena mematikannya jugak. Bukankah mematikannya sama dengan membunuhnya? Kenapa tidak mengambil pendekatan Makruh yang dilihat lebih selamat daripada menghukumkannya terus sebagai Harus? Perkataan "Harus" dari segi hukum agama bermaksud dibolehkan. Saya pun nak bertanya jugak kepada mereka yang sependapat dengan ulamak jemputan tu.. Nabi bahkan Allah sendiri melarang kita membunuh sesama manusia, tetapi tiada larangan bagi kita untuk memakan daging manusia. Jadi adakah memakan daging manusia itu pun hukumnya Harus juga??

Perbezaan pendapat sememangnya diterima dalam Islam. Walau bagaimanapun perbezaan pendapat jugalah yang memecahkan umat Islam kepada beberapa Mazhab. Perbuatan mengeluarkan pendapat atau fatwa baru yang bertentangan dengan pegangan majoriti umum umat Islam, pada saya adalah kurang wajar. Janganlah hendaknya dek kerana ingin mencari populariti murahan, umat Islam menjadi bertelagah hanya kerana suatu pendapat yang tidak sepatutnya diberi perhatian yang khusus sepertimana isu makan katak tersebut. Ada banyak lagi isu yang lebih besar yang boleh diketengahkan. Malahan, umat Islam diseluruh dunia secara umumnya tidak menjadikan katak sebagai salahsatu makanan. 

Selain daripada itu, kajian saintifik moden juga menunjukkan bahawa katak mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan penyakit kanser, kegagalan buah pinggang dan kelumpuhan (strok). Sebahagiannya pula memiliki racun berbisa yang mampu membunuh manusia. Masyarakat orang asli yang hidup dihutan juga menggunakan cecair berbisa yang terdapat pada bahagian belakang badan katak untuk disapu pada mata panah atau sumpit bagi memburu hidupan liar. Manakala para penggemar makanan eksotik seperti haiwan katak dan kodok, kebanyakannya hanya mengambil bahagian kakinya sahaja untuk dijadikan sajian dan ianya perlulah melalui proses penyediaan yang cermat dan dimasak dengan sempurna bagi menghindari risiko keracunan yang terdapat pada haiwan tersebut.
- Teringat masa tinggal kat Bukit Bintang dulu, selalu jugak pergi makan malam kat Jalan Alor. Memang banyak restoran cina yang jual katak panggang.. nampak macam sedap je!

Berbalik kepada Malaikat tidak memasuki rumah yang ada angsa tadi. Didalam Islam hanya disebutkan bahawa Malaikat tidak dapat memasuki rumah yang didalamnya ada haiwan yang najis iaitu anjing dan babi. Angsa, katak, gorila, dinasour, haiwan dua alam atau haiwan-haiwan lain memang tidak dinyatakan. Yang dinyatakan pulak adalah didalam rumah dan bukannya diluar rumah atau diperkarangan rumah. Lagi pun tak pernah terdengar pulak saya ada orang pelihara angsa didalam rumah. Bab anjing didalam rumah tu.. ianya tidak mengira samada anjing tu dipelihara oleh tuan rumah atau pun tidak. Asal ada anjing atau babi sahaja didalam rumah, pasti Malaikat tidak dapat memasuki rumah tersebut kerana itu adalah ketetapan Allah terhadap Malaikat - makhlukNya yang paling suci. Tetapi Malaikat boleh memasuki rumah tu setelah anjing tu keluar dari rumah. Ini berdasarkan kisah Malaikat Jibril yang bertandang kerumah Nabi Muhammad S.A.W sebagaimana yang telah diriwayatkan didalam sebuah Hadis. Terdapat juga riwayat yang menyatakan bahawa Nabi Ibrahim pun ada memelihara anjing untuk menjaga ternakannya. Bahkan hasil buruan yang dibunuh oleh anjing terlatih yangmana telah disertakan kalimah Allah tatkala melepaskannya untuk menangkap binatang buruan tersebut adalah halal dimakan. Jadi kalau anjing pun boleh dipelihara untuk tujuan tertentu, apatah lagi angsa yang sememangnya bukan tergolong sebagai haiwan yang najis.

Atau mungkin juga individu yang menyatakan Malaikat tidak akan memasuki sesebuah rumah sekiranya ada angsa tersebut bagi pendapat macam tu sekadar untuk mengelakkan pemilik-pemilik rumah daripada membela angsa sebab karakter angsa pun sama macam anjing jugak, bila kita bertandang kerumah yang ada memiliki angsa, pasti kena sergah dek angsa, pastu kena kejar pulak tu! Jadi bagi mereka yang nak berdakwah pun susah la jugak. Sekali imbas seolah-olah tuan punya rumah macam menolak kedatangan rahmat kerana ada sebilangan orang merasa takut untuk datang kerumahnya walhal ziarah menziarahi itu merupakan suatu ibadat. Wallahualam.

Larangan berfatwa dan berbicara (berdebat) tanpa ilmu. Petikan daripada Al-Quran yang bermaksud:

“Janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” [QS Al Isra`: 36]

“Janganlah kalian mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “Ini halal dan ini haram.” untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.” [QS An Nahl: 116]

- Sekiranya pembaca mendapati ada keterangan yang tidak benar atau bercanggah dengan hukum agama, diharap dapat diperbetulkan dengan meninggalkan komen dibawah. Terima kasih.


Promo



Note: This article contains a street language of Bahasa Malaysia. Translation to other language may not accurate.

© 2014- Uniaga Aviary. Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan dan penerbitan semula artikel ini samada sebahagian atau keseluruhan, dengan atau tanpa modifikasi dan tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik adalah dilarang sama sekali.


1 comments:

  1. Angsa enggak hidup didua alam, angsa cuman berenang di air.

    ReplyDelete