00:40
3

Ular Sawa Batik ke-6.

4/3/17 jam 11.30 malam, seekor lagi ular sawa bersaiz besar berjaya dibunuh semasa sedang membelit seekor induk angsa putih jantan aku yang sedang menjaga anak-anaknya yang baru menetas. Ular yang panjangnya hampir 12 kaki dengan saiz badannya yang sebesar betis lelaki dewasa itu berjaya dibunuh dengan menggunakan sebilah parang. Walau bagaimanapun, angsa putih jantan aku tu dapat diselamatkan.




Ular Sawa Batik ke-5.

Pada 17/6/15 kira-kira pukul 2.20 pagi, aku terjaga dari tidur akibat dikejutkan dengan bunyi bising daripada angsa jantan aku. Bunyinya bukanlah melalak seperti biasa, tetapi dengan satu nada pendek dan berulang-ulang yang kebiasaannya hanya dilakukan tatkala melihat ayam yang aku sembelih atau ada sesuatu yang mencurigakannya, tetapi kali ini nada suaranya agak tinggi dan keras sedikit. Setelah beberapa ketika mengamati suara angsa aku tersebut, aku mengambil keputusan untuk pergi melihat keadaan atau punca yang menyebabkan angsa jantan aku tu berbunyi tanpa henti. Ketika menghampiri kandang angsa aku tu, aku melihat angsa-angsa dan itik-itik aku sedang berkumpul disatu tempat, walhal itik-itik tu memang selalu kena buli dengan angsa-angsa aku tu dan sentiasa berada berjauhan antara satu sama lain. Jangkaan aku mungkin ada ular yang masuk kedalam kandang angsa aku tu sebab 2 malam berturut-turut sebelumnya dah 2 ekor ayam Onagadori aku dipercayai menjadi mangsa ular. Aku pun terus menuju kearah reban yang menempatkan anak-anak angsa aku yang baru berusia 2 hari. Sekali suluh sahaja dah terlihat kelibat seekor ular sawa bersaiz besar sedang melilit seekor induk betina angsa putih aku dibawah reban anak angsa tersebut. Aku melihat angsa aku tu dah tidak berdaya tetapi matanya masih terbuka dan masih bernyawa lagi. Tanpa membuang masa, aku pun masuk semula kedalam rumah dan mencapai sebilah parang. Setelah kembali kepada ular sawa tersebut, aku melihat angsa putih aku tu masih lagi bernyawa dan berdasarkan pengalaman lalu, ianya mungkin ada harapan untuk diselamatkan. Aku terus sahaja menetak badan ular tu berulang kali sehingga ia meregangkan belitannya tetapi masih tidak dilepaskannya angsa tersebut. Tatkala kepala ular tersebut muncul dihadapanku, aku terus sahaja menetak leher dan kepalanya tetapi masih juga tidak dilepaskan belitannya. Setelah melihat keadaan ular itu yang semakin lemah, aku pun cuba melepaskan angsa aku tu daripada belitan ular tersebut dengan menarik badan ular tu yang saiznya sebesar paha aku. Alhamdulillah, dengan izin Allah induk betina angsa putih aku tu dapat diselamatkan dan ular sawa tersebut menemui ajalnya.

Setelah diukur, panjang badan ular tersebut adalah melebihi 18 kaki dan ukur lilit badannya 18 inci. Berdasarkan saiz badan ular yang dibunuh dan saiz lubang yang terdapat pada reban ayam Onagadori aku tu, berkemungkinan besar yang ular yang dibunuh itu bukanlah ular yang sama yang memakan ayam aku tu sebab saiz lubang yang terdapat pada reban ayam aku tu jauh lebih kecil iaitu kira-kira sebesar lengan lelaki dewasa. Lagi pun kebiasaannya ular sawa hanya makan seminggu sekali bergantung kepada saiz habuannya. Ini bermakna ular yang memakan ayam aku tu masih berkeliaran bebas dan mungkin akan kembali lagi.




Ular Sawa Batik ke-4.

Pada 8 September 2014 jam 2 pagi, seekor ular sawa batik sepanjang 20 kaki (lihat gambar diatas) berjaya dibunuh didalam kandang angsa aku. Isyarat pertama didengari kira-kira beberapa jam sebelum itu apabila ayam api jantan membunyikan isyarat kecemasan yang kebiasaannya dilakukan ketika melihat kehadiran pemangsa atau sesuatu yang mencurigakannya. Bunyi angsa jantan aku juga agak bising tetapi aku tidak menghiraukannya kerana sedang sibuk menyiapkan artikel panduan memelihara ayam belanda.

Kira-kira pukul 2 pagi, aku terdengar bunyi dari kandang angsa aku yang berada berhampiran dengan rumahku seolah-olah ada sesuatu yang terjatuh diatas atap zink. Aku pun mencapai lampu suluh dan mencari punca bunyi tersebut yang pada sangkaan aku adalah musang atau pun kucing liar. Setelah mencari beberapa minit, aku masih tidak menjumpai sebarang kelibat pemangsa tersebut sehinggalah ternampak oleh mata kepalaku seekor angsa putih sedang bergelut dibelit oleh ular sawa yang sangat besar dibawah sepohon pokok yang terdapat beberapa zink buruk dibawahnya. Tanpa berlengah lagi, aku masuk kedalam rumah dan mencapai sebilah parang tajam dan menghampiri ular tersebut, sekalipun aku tidak merasa yakin akan kebolehan parang tersebut. Pada masa itu, aku melihat angsa aku tu masih bernyawa lagi tetapi sangat lemah. Aku mencari-cari kedudukan kepala ular sawa tersebut untuk ditetak tetapi tidak menjumpainya kerana tersorok dibahagian bawah badannya. Pada masa yang sama, aku melihat seolah-olah angsa aku tu menarik nafas yang penghabisan sebelum tengkuknya jatuh terkulai. Tanpa berlengah lagi, aku pun terus menetak badan ular yang melingkari angsa aku tu tetapi tidak dilepaskannya. Setelah ditetak kali kedua atau ketiga dan memperoleh sedikit luka, barulah ular tersebut melepaskan belitannya dan kepalanya yang sebesar tapak tangan lelaki dewasa itu tiba-tiba terus meluncur kearah kiriku. Dalam keadaan tergamam itu, aku terus menetak leher dan kepala ular tersebut sehingga hampir putus. Maka berakhirlah satu perjuangan untuk menyelamatkan angsa aku, walaupun aku hampir pasti yang angsa aku tadi tidak lagi dapat diselamatkan dan percaya tulang-tulangnya telah patah kesemuanya.

Setelah selesai berurusan dengan ular tersebut, aku pun menghampiri angsa aku yang telah terkulai layu tetapi masih bernyawa lagi. Seketika kemudian tanpa disangka, angsa aku tu bingkas bangun dan cuba berjalan tetapi terjatuh beberapa kali sebelum mampu berjalan dengan lemah dan longlai kearah ahli keluarganya. Memang aku tidak menyangka sama sekali yang angsa aku tu boleh terselamat daripada menjadi mangsa ular sawa tersebut, apatah lagi saiz lilitan badan ular tersebut mencapai 1.5 kaki @ 18inci dan jarak masa antara ianya mula dibelit sehingga ular tersebut melepaskannya dianggarkan tidak kurang dari 5 minit atau lebih. Sedarlah olehku ketika itu bahawa ajal maut ditangan Allah dan ular tersebut sememangnya telah ditakdirkan untuk mati dan aku adalah penyebabnya, manakala bagi angsa tersebut mungkin Allah belum berkenan untuk mengambil nyawanya.

Kira-kira 10 hari sebelumnya, seekor angsa betina aku yang lain telah hilang dan aku tidak mengetahui puncanya dan tiada sebarang petunjuk kecuali terdapat satu lubang yang besar pada pukat yang mengelilingi kandang angsa aku tu. Walaubagaimanapun, aku tidak mengetahui bagaimana lubang besar itu terbentuk dan haiwan apakah yang melakukannya. Berdasarkan saiz badan ular yang dibunuh dan saiz lubang pada pukat tersebut serta jarak masa yang diambil untuk serangan kali kedua, berkemungkinan besar ia adalah ular yang sama membaham angsa aku 10 hari yang lalu. Ini adalah ular yang ke-4 berjaya dibunuh didalam kandang angsa aku dan merupakan ular yang paling besar sekali. Nah.. siapa kata ular takut dengan najis angsa?




Ular Sawa Batik ke-3.

26/2/2013 - Dah beberapa hari dah hujan turun dengan tidak berhenti-henti. Salah seekor angsa putih aku pun dah mula bertelur. Mengikut pengalaman lalu, kalau telur dah terkena air, peluangnya untuk menetas adalah tipis sama sekali. Jadi untuk mengelakkan telur-telur angsa tu daripada terkena air yang membasahi badan angsa, aku pun mengambil keputusan untuk mengurung sahaja angsa-angsa aku tu didalam reban. Reban tu pulak merupakan reban separuh terbuka yang selama ini dijadikan tempat angsa-angsa aku tu bertelur. Tapi kali ni aku tutup dengan jaring pagar agar angsa-angsa aku tu tidak dapat keluar bermain air hujan, jadi bulu-bulu angsa ni akan sentiasa kering dan telur-telur pula tidak dibasahi dengan air. Sekarang dah masuk 2 hari dah aku kurung angsa-angsa aku tu didalam reban.

Nak dijadikan cerita, pada pagi hari kedua tu aku bangun seperti biasa, maklumlah dah jadi rutin harian setiap pagi aku akan bagi makan haiwan peliharaan aku dulu. Semasa aku masuk kekandang angsa, aku melihat salah seekor induk angsa putih aku dah mati didalam reban. Andaian aku pada masa tu yang angsa aku ni mungkin mati sebab bergaduh sesama sendiri.. walaupun tak pernah berlaku. Aku pun tak ambil kisah sangat.. kira reda je lah tapi seekor lagi induk betina angsa putih aku tidak kelihatan. Aku pun masuk la kedalam reban tu untuk pastikan samada angsa aku tu tengah bertelur. Tiba-tiba bukan angsa yang aku nampak, tapi seekor ular sawa yang agak besar sedang tidur lena didalam salah satu daripada sarang tempat angsa-angsa aku tu bertelur. Terkejut angsa la aku masa tu, bengang dan kecewa pun ada sebab sah la yang seekor lagi induk betina angsa aku dah berada didalam perut ular sawa tu! Patut la besar semacam je ular tu. Aku biarkan sahaja ular tu tidur dulu, tak nak kacau.. mungkin jugak dia tengah dibuai mimpi macamana rupa angsa tu ketika dia nak membahamnya, pasti takut gila punya! Aku pun keluarkan angsa-angsa yang masih hidup dari reban dan bagi makan minum dia dulu, lepas siap semuanya, aku pun capai sebatang cangkul, tarik ular tu keluar dari sarang angsa tu dan terus cangkul kepala dia sampai mati.. kira hutang nyawa dibalas dengan nyawa la tu! Baru padan dengan muka dia. Lahabau punya ular!

Sebenarnya aku ni jenis yang tak suka membunuh ular kecuali ular tu buat hal dengan aku dulu. Pernah jugak aku terserempak dengan ular berbisa seperti ular tedung senduk, tedung selar, sarang tiong, kapak dan sebagainya tapi aku ambil pendekatan halau atau tangkap dan lepaskan kehabitat asalnya sahaja. Kalau ular tedung tu, aku ada rasa hormat sikit sebab ular jenis ni kebiasaannya akan bagi amaran dulu kat kita dengan mengeluarkan bunyi berdesis sekiranya diganggu atau merasa dirinya terancam namun tidak akan terus menyerang kita malahan akan cuba melarikan dirinya daripada kita, pada hal ia boleh melawan dan membunuh kita sekiranya ia mahu! Tu yang aku respect sikit kat ular jenis ni. Namun ular tedung sangat merbahaya. Ia boleh mengeluarkan bisanya dengan cara gigitan atau dengan menyemburkan sahaja ke arah mangsa. Kalau terkena mata, alamat butalah mata kita seumur hidup! Jadi berhati-hatilah jika bertemu dengan ular jenis ni, walaupun ia hanya seekor anak yang masih kecil.

Berbalik kepada ular yang makan angsa aku tadi, setelah diukur, panjang ular tu hanyalah 12 kaki sahaja dan kepalanya adalah sebesar kepala angsa dewasa, namun mampu menelan mangsa yang jauh lebih besar daripada kepalanya! Ini merupakan kali ke-3 ular sawa berjaya masuk dan dibunuh didalam kandang angsa aku dan merupakan kali pertama angsa aku menjadi mangsa ular. Jadi pendapat yang mengatakan ular tidak akan masuk ketempat yang ada angsa kerana tidak suka dengan najis angsa adalah tidak benar sama sekali!


Angsa Putih betina yang terselamat daripada menjadi mangsa ular sawa sepanjang 20 kaki. Perhatikan kecederaan yang terdapat pada bahagian pahanya akibat dipatuk oleh ular tersebut.

*Ular sawa pertama & ke-2 yang berjaya dibunuh tidak dapat dipaparkan disini kerana ketiadaan gambar dan ianya berlaku sebelum artikel ini mula ditulis. Harap maklum.

Untuk makluman, ular sawa batik (Python reticulatus) adalah haiwan reptilia yang dilindungi oleh kerajaan Malaysia dibawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Memburu, memelihara dan menjual-beli spesis ular ini tanpa lesen yang sah daripada Jabatan Perhilitan adalah tidak dibenarkan. Walau bagaimanapun, ular tersebut boleh dibunuh sekiranya ia mendatangkan ancaman terhadap manusia atau haiwan ternakan. Anda juga dinasihatkan agar menghubungi pihak berkuasa seperti Bomba dan Penyelamat bagi menangani masalah ular sawa yang hadir dipremis anda terutama sekali yang bersaiz besar dan jangan sesekali cuba untuk menangkapnya dengan menggunakan tangan kosong kerana tenaga ular sawa adalah jauh lebih kuat daripada tenaga manusia dan anda mungkin menjadi mangsanya.


Note: This article contains a street language of Bahasa Malaysia. Translation to other language may not accurate.

© 2014- Uniaga Aviary. Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan dan penerbitan semula artikel ini samada sebahagian atau keseluruhan, dengan atau tanpa modifikasi dan tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik adalah dilarang sama sekali.


3 comments:

  1. Saya sungguh² raspek dekat abg... Berani giler tangkap benda alah tu... Saya takut..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Takut jugak sebenarnya tapi sebab nak selamatkan angsa tu terpaksa la beranikan diri.

      Delete
    2. Takut jugak sebenarnya tapi sebab nak selamatkan angsa tu terpaksa la beranikan diri.

      Delete