12:16 PG
0


Penyakit Puru

Penyakit Puru merupakan sejenis penyakit barah yang disebabkan oleh sejenis virus yang menular melalui gigitan nyamuk. Ianya terjadi dengan terbentuknya satu ketumbuhan berwarna kekuningan dibahagian luaran dan dibahagian dalamnya berwarna putih. Kebiasaannya ia akan menyerang pada kaki, paruh, kelopak mata dan juga badan anak-anak burung atau ayam yang masih kecil dan yang mempunyai kurang daya ketahanan melawan penyakit. Pada peringkat awal, penyakit ini boleh dirawat dengan mudah namun sekiranya penyakit ini telah merebak kedalam rongga pernafasan atau bahagian dalaman mata, ianya agak sukar untuk diubati dan boleh membawa maut kepada mangsa.


Cara Rawatan
Antara jenis rawatan yang boleh digunakan adalah dengan memberi ubat puru yang boleh didapati dari mana-mana kedai burung. Ubat ini (lihat gambar) diberikan kepada burung atau ayam dengan cara menyuapkannya dengan menggunakan alat penyuap ubat yang boleh dibeli di kedai-kedai farmasi atau klinik. Ubat ini berharga hanya RM5 sahaja sebotol. Jumlah dos yang digunakan adalah sebanyak 5ml atau 1 tudung botol ubat tersebut dan diberikan 1 kali sehari selama 3 hari berturut-turut. Selepas 1-2 minggu, puru-puru tersebut akan menjadi hitam dan luruh dengan sendirinya. Ada juga ubat puru yang berbentuk losyen berharga RM50 sebotol dan digunakan dengan cara menyapukannya pada bahagian ketumbuhan tersebut. Penggunaan iodin, minyak masak terpakai, minyak hitam atau minyak ubat untuk kegunaan manusia mungkin juga boleh digunakan.

Langkah Pencegahan
Antara langkah pencegahan bagi menghalang burung-burung daripada terkena gigitan nyamuk adalah dengan membina reban dengan menggunakan jaring bersaiz halus seperti jaring hijau, jaring lori, kelambu dan sebagainya. Elak mendirikan reban dikawasan yang lembab seperti dibawah pokok sebab nyamuk memang suka berada dibawah pokok dan pastikan tiada air yang bertakung dikawasan sekitar reban. Pemberian vitamin secara berkala juga dapat meningkatkan daya ketahanan burung terhadap sebarang jenis serangan penyakit.

Penyakit Kurus

Penyakit kurus biasanya disebabkan oleh sejenis cacing yang hidup didalam perut mangsa. Cacing-cacing ini merebak melalui makanan yang tercemar, makanan yang terkena najis, pasir dan juga tanah yang dimakan oleh burung yang menjadi mangsa. Walau pun burung yang dijangkiti penyakit ini kelihatan sihat dan kuat makan, namun saiz badannya sangat kurus dan tidak dapat membesar dengan sempurna. Ini adalah kerana zat-zat yang dimakan olehnya dimakan pula oleh cacing-cacing tersebut. Burung-burung yang terkena penyakit ini juga mempunyai daya ketahanan melawan penyakit yang lemah. Justeru itu, ianya juga mudah terdedah kepada lain-lain jenis serangan penyakit.


Cara Rawatan
Penyakit ini boleh dirawat dengan memberikan ubat Piperazine Ciltrate yang dicampurkan dengan air minuman. Ubat ini bertindak dengan membunuh cacing-cacing yang berada didalam perut mangsa. Ianya berbentuk seperti serbuk perasa ajinomoto dan hanya berharga RM2 sepeket.

Langkah Pengcegahan
Pastikan reban dibersihkan sekurang-kurangnya 1 kali seminggu. Elakkan burung daripada memijak tanah dengan membina reban yang berlantaikan jaring dan pastikan juga tiada makanan yang terkena najis yang mana mungkin akan dimakan pula oleh burung tersebut. Bekas untuk menyimpan makanan mestilah sentiasa tertutup rapat dan sebaik-baiknya gunalah tong plastik yang kedap udara. Jangan sesekali meletakkan guni yang mengandungi makanan diatas tanah. Bekas makanan juga mestilah sentiasa dalam keadaan bersih. Makanan yang diberikan pula seelok-eloknya dalam kuantiti yang boleh dihabiskan dengan segera dan tiada baki yang tertinggal kerana makanan yang tidak dihabiskan mungkin akan tercemar dengan kehadiran lalat, lipas, tikus dan sebagainya.

Penyakit Murung

Penyakit murung selalunya berlaku disebabkan tekanan, perubahan cuaca, kurangnya zat makanan, air minuman yang tercemar atau adanya gejala penyakit lain. Burung akan kelihatan sentiasa termenung, tidak aktif dan kurang berselera untuk makan.


Cara Rawatan
Asing atau kuarantinkan burung yang terkena penyakit tersebut. Berikan air minuman yang bercampur dengan vitamin, dan boleh juga diletakkan sedikit garam kedalam air minuman tersebut. Pelbagaikan jenis makanannya dan lebihkan makanan yang paling disukainya, sebaik-baiknya berilah kacang hijau. Sediakan air mandian yang bersih. Pastikan burung boleh bergerak bebas dan menerima cahaya matahari terutama diwaktu pagi. Perhatikan gejala penyakit lain jika ada dan rawati penyakit tersebut dengan segera.

Langkah Pengcegahan
Pastikan reban yang digunakan adalah bersesuaian dengan burung yang dipelihara dan tidak terlalu sempit atau padat. Cuba penuhi keperluan asas burung tersebut seperti makanan yang seimbang, vitamin, air minuman yang bersih, air mandian, cahaya matahari, ruang yang secukupnya untuk terbang, pasangan yang sesuai dan sebagainya. Motifnya adalah agar burung tersebut berasa selesa, selamat dan ceria, sekali pun berada didalam sangkar.

Masalah Parasit seperti Kutu dan Lalat burung

Kutu burung merupakan sejenis parasit yang hidup dengan memakan bulu-bulu burung yang menyebabkan bulu-bulu burung menjadi gugur, manakala lalat burung hanya hidup dicelah-celah bulu burung tetapi tidak mendatangkan bahaya kepada burung, namun boleh memberi ketidakselesaan kepada burung yang dijangkitinya. Kedua-duanya juga mudah membiak dan merebak ke burung-burung yang lain.

Cara Rawatan
Selain daripada ubat pembasmi parasit burung yang ada dipasaran, serbuk Piperazine Ciltrate juga boleh digunakan untuk membunuh serangga. Campurkannya dengan air, gunakan botol penyembur dan semburkan pada bulu burung atau campurkan Piperazine Ciltrate kedalam air mandian burung. Ianya selamat dan tidak memberi kesan sampingan kepada burung, namun cara ini mungkin tidak berapa efektif. Kalau nak lagi mudah dan efektif, semburkan sahaja dengan racun pembasmi serangga seperti Ridsect dan sebagainya. Walaubagaimana pun cara ini TIDAK DIGALAKKAN kerana ianya boleh mendatangkan kesan sampingan yang mana boleh menyebabkan keracunan, pening kepala dan burung tidak berupaya untuk mengimbangi badannya dengan betul. Sekiranya terjadi, boleh disuapkan air dan biarkan burung tersebut mengalami cirit-birit. Kebiasaannya, cara ini tidak mendatangkan maut pada burung tersebut dan ianya akan kembali normal selepas beberapa jam. Tetapi AWAS! semburan hanya boleh dilakukan dalam jumlah yang sedikit dan hanya boleh ditujukan pada bahagian bulunya sahaja serta jangan sampai basah. Semburan juga mestilah tidak terkena pada bahagian kulitnya kerana racun tersebut akan meresap melalui liang-liang roma pada kulit dan boleh menjadikan kulitnya seperti hangus terbakar. Sekiranya terjadi demikian, tempoh penyembuhannya boleh mengambil masa berminggu-minggu tertakluk kepada jumlah racun yang digunakan dan daya ketahanan burung tersebut. Jadi cara ini hanya untuk mereka yang berpengalaman sahaja dan sanggup pula menanggung risikonya. Selain daripada itu, penggunaan air garam juga mungkin boleh digunakan. Kalau nak lagi selamat, lebih baik guna khidmat pakar kesihatan haiwan seperti Jabatan Veterinar atau Klinik Haiwan.

Langkah Pencegahan
Pastikan burung sentiasa dimandikan dan didedahkan pada cahaya matahari. Seelok-eloknya binalah reban dengan jaring yang halus. Penyemburan ubat pembasmi serangga pada reban juga boleh dilakukan dengan berkala. Pastikan juga burung-burung yang ingin dibeli tidak mempunyai sebarang parasit agar tidak menjangkiti burung-burung yang sediada.

Masalah Bau Busuk

Bau najis burung bergantung kepada jenis burung yang dipelihara dan pemakanannya. Makanan yang berunsur daripada sumber haiwan seperti dedak pedaging akan mengeluarkan bau najis yang lebih busuk berbanding makanan yang berasaskan bijian seperti padi, sekui, jagung dan sebagainya. Begitu juga dengan kuantiti, saiz dan tahap pemakanan burung, ianya juga akan menyumbang kepada jumlah najis yang dikeluarkan dan seterusnya menyebabkan bau yang busuk. Bau najis daripada induk burung yang sedang mengeram atau yang mempunyai anak yang baru menetas juga amat busuk.

Cara Rawatan
Antara cara rawatan untuk menghilangkan bau najis yang busuk adalah dengan menyemburkannya dengan bahan penyahbau atau boleh juga menggunakan cecair penyental seperti klorox. Cara lainnya ialah dengan mencuci reban setiap hari atau sekurang-kurangnya 1-2 kali seminggu.

Langkah Pengcegahan
Bau najis burung boleh dielakkan atau dikurangkan dengan menentukan:
1. Jarak lokasi reban yang lebih jauh daripada rumah kediaman.
2. Kedudukan reban dengan rumah kediaman tidak berada sehaluan dengan arah angin bertiup (kebiasaannya angin bertiup dari arah matahari naik atau jatuh, bergantung kepada geografi setempat).
3. Bahagian reban yang menempatkan najis mestilah ditutup dengan sempurna bagi mengelakkan hembusan daripada angin yang bertiup.
4. Reban yang menggunakan lantai diatas tanah perlulah dialaskan dengan habuk gergaji, pasir atau pun sekam padi dan pastikan ianya sentiasa kering. Elakkannya daripada terkena tempias air hujan.
5. Bagi yang memelihara angsa/itik, kandang angsa seelok-eloknya ditempatkan diatas tanah yang sedikit curam atau berbukit. Cara ini boleh membersihkan najis-najis angsa secara semulajadi dan juga boleh mengelakkan lumpur najis ketika air hujan turun.

0 comments:

Catat Ulasan