22:26
0

Kebiasaannya burung merpati boleh diperolehi daripada kedai-kedai haiwan peliharaan, pembiak-pembiak burung merpati komersial atau pemelihara-pemelihara burung merpati individu yang berminat untuk menjual burung merpati mereka. Manakala harga pasaran bagi burung merpati boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada jenis, kualiti, usia dan budibicara pemiliknya. Disini saya ingin berkongsi beberapa tips untuk membeli burung merpati agar anda tidak tertipu atau mengalami kerugian dikemudian hari. Antara tip-tipnya adalah:

1. BAKA
Pastikan jenis merpati yang ingin dipelihara. Pastikan juga bakanya samada import, baka import, baka tempatan atau kacukan. Merpati import bermaksud merpati yang diimport sepenuhnya terutama dari negara asalnya, baka import merujuk kepada anak atau keturunan daripada kedua-dua induk jantan dan betina yang diimport sepenuhnya, manakala baka tempatan atau kacukan merujuk kepada merpati yang telah dikacuk dengan baka merpati tempatan atau mana-mana jenis merpati lain atau yang sejenis dengannya;

2. KUALITI
Pastikan tahap kualiti dan keaslian burung merpati tersebut. Burung merpati yang diimport sepenuhnya kebiasaannya adalah lebih mahal daripada burung merpati baka import yakni anak atau keturunan daripada merpati import. Merpati import atau baka import mempunyai saiz yang lebih besar, lebih menarik dan harganya adalah lebih tinggi berbanding merpati baka tempatan. Manakala burung merpati kacukan yang diimport dan anak-anak daripada induk burung merpati asli yang diimport kemudian dikacukkan dengan burung merpati tempatan lazimnya kurang menarik dan kehilangan beberapa ciri tertentu yang terdapat pada burung merpati yang asli. Setiap burung merpati import memiliki tanda atau gelang yang mempunyai nombor siri dan maklumat pembiaknya dan setiap pengimport unggas perlu mendapatkan permit import daripada Jabatan Veterinar Malaysia dan jika berkenaan, sijil pengesahan daripada PERHILITAN Malaysia dan CITES yakni badan antarabangsa yang mengawal perdagangan hidupan liar bagi haiwan yang dilindungi. Pastikan kredibiliti pembiak dan pengimport tersebut dengan meminta salinan dokumen bagi status burung tersebut. Anda juga boleh mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Veterinar dan/atau Kastam Diraja Malaysia bagi memastikan keaslian dokumen tersebut;

3. JANTINA
Pastikan jantina burung yang ingin dibeli. Tugas untuk memastikan jantina burung merpati anak muda memang agak sukar untuk dilakukan terutamanya bagi anak muda yang berumur dibawah 3 bulan. Ini adalah kerana kebiasaannya burung merpati akan bertelur sebanyak 2 biji bagi setiap pusingan dan akan memperoleh 2 ekor anak samada kedua-duanya jantan, atau kedua-duanya betina, atau sepasang yakni jantan dan betina. Namun ada juga merpati yang boleh menghasilkan anak yang berpasangan jantan dan betina secara konsisten. Secara umumnya jantina burung merpati boleh ditentukan dengan cara berikut:

a) Saiz ~ Saiz badan dan kepala yang jantan adalah lebih besar daripada yang betina. Sekiranya perbezaan saiznya tidak berapa ketara atau hampir sama, berkemungkinan kedua-dua merpati tersebut adalah sama jantinanya;
b) Wajah ~ Wajah yang jantan adalah lebih keras dan berpandangan tajam manakala wajah yang betina adalah lebih lembut;
c) Gaya ~ Gaya yang jantan adalah lebih menyerlah dan menarik berbanding dengan gaya yang betina;
d) Tulang Pelvik ~ Ruas bagi tulang pelvik atau dikenali juga sebagai "sepit udang" yang terletak pada bahagian bawah duburnya adalah sempit bagi yang jantan dan luas bagi yang betina, namun penggunaan cara ini tak semestinya 100% tepat;
e) Mengawan ~ Lazimnya yang jantan akan berada diatas dan yang betina berada dibawah dan hanya kadang-kadang sahaja posisinya terbalik dengan yang betina berada diatas manakala yang jantan berada dibawah. Tapi harus diingat ada juga pasangan yang menjadi gay atau lesbian. Sekiranya jumlah telur bagi pasangan tersebut mencapai 4 biji, berkemungkinan besar yang kedua-dua merpati tersebut adalah betina;
f) Memiliki anak ~ Ini adalah cara terbaik untuk mengenali jantina burung merpati dan ketepatannya dijamin 100%. Jadi kalau anda tidak berani menanggung risikonya dan ingin mendapatkan pulangan yang lebih cepat diatas pelaburan yang anda lakukan, maka inilah cara yang terbaik untuk anda.. yakni beli induknya dan bukan anaknya.

Sekiranya anda telah terbeli pasangan burung merpati yang sama jantinanya, anda boleh menukarkan salah seekornya, menjual salah seekornya kemudian membeli pasangannya atau menjual kedua-duanya kepada peminat burung merpati yang lain. Pastikan juga anda berlaku jujur dengan menyatakan perkara sebenar atau satus burung tersebut kepada mereka yang berminat untuk membelinya.

4. TAHAP KESIHATAN
Pastikan tahap kesihatan burung merpati yang ingin dibeli berada pada tahap yang memuaskan seperti tiada tanda-tanda penyakit puru, murung, lumpuh, terlalu kurus atau gejala penyakit lain dan juga tiada sebarang kecacatan pada pancainderanya. Pastikan juga burung yang ingin dibeli tidak mempunyai sebarang parasit seperti kutu, lalat merpati dan lain-lain. Untuk memastikannya, pegang burung tersebut dan selakkan sayapnya, kerana parasit-parasit tersebut biasanya bertelur dan hidup pada bahagian bawah pelepah sayap burung, bahagian ekor dan juga keseluruhan bulu pada bahagian badannya. Ianya juga mudah merebak kepada burung-burung yang lain.

5. HARGA
Pastikan harga burung merpati yang ingin dibeli bersesuaian dengan bajet anda. Empunya burung yang cantik, unik lagi berkualiti mungkin akan meletakkan harga yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran manakala burung yang kurang kualitinya atau yang mempunyai masalah akan dijual dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran, sekali pun jenis dan rupa burung tersebut adalah sama. Anda juga perlu berhati-hati dengan promosi harga terendah atau harga tawaran yang terlalu murah berbanding dengan harga pasaran semasa bagi mengelakkan terbelinya burung yang bermasalah atau burung yang dicuri. Burung yang bermasalah adalah seperti burung yang berpenyakit, enggan mengawan, bertelur tapi tiada benih, ada benih tapi tidak menetas, bertelur tapi enggan mengeram, bertelur sebiji sahaja (kecuali burung merpati Mahkota & Nicobar), bertelur tetapi selalu dipecahkannya, tidak pandai jaga anak, anak selalu mati dan sebagainya.

Terdapat juga penjual yang menawarkan anak burung merpati mereka dengan harga yang sangat murah berbanding dengan harga pasaran semasa, terutamanya yang berusia sekitar 3-4 bulan atau pra-matang disebabkan mereka mengetahui atau mempercayai bahawa pasangan anak burung merpati yang ingin dijualnya itu adalah sama jantinanya, sedangkan mereka menyatakan sebaliknya. Jadi, jangan sesekali anda terpedaya dengan tawaran harga terendah yang mungkin agak sukar bagi anda untuk menolaknya. Selidiki terlebih dahulu kredibiliti seseorang penjual sebelum anda membeli burung merpati daripadanya. Sebaik-baiknya pertimbangkanlah secara rasional sebelum anda membuat keputusan untuk membeli burung merpati berkenaan.

6. JAMINAN WANG DIKEMBALIKAN
Membeli burung merpati daripada penjual yang boleh memberi jaminan wang dikembalikan sekiranya anda tidak berpuashati dengan burung yang dibeli adalah langkah terbaik bagi anda, terutama sekali sekiranya anda membuat urusan secara "online" atau jarak jauh. Ia menandakan bahawa penjual tersebut mempunyai keyakinan penuh terhadap kualiti burung yang dijualnya dan juga mempunyai sifat ikhlas dalam berurusniaga.

7. KHIDMAT SELEPAS JUALAN
Pastikan penjual boleh memberi khidmat selepas jualan seperti anda boleh menghubunginya melalui telefon, mengajukan sebarang pertanyaan berkaitan, meminta khidmat nasihat dan sebagainya. Penjual yang bersifat tidak jujur dan mementingkan diri sendiri akan cuba mengelak daripada dihubungi dan melayani pertanyaan anda. Tanda-tanda awal bagi penjual seperti ini adalah kegagalannya untuk memenuhi perjanjian yang dibuat dan tidak menepati masa. Terdapat juga penjual yang mengiklankan burung atau haiwan mereka dilaman-laman web tertentu dengan menggunakan atau mencuri gambar milik orang lain bagi menutup kelemahan yang ada pada haiwan milik mereka. Hindarkan diri anda daripada berurusan dengan mereka yang seperti ini.


Promo


© 2014- Uniaga Aviary. Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan dan penerbitan semula artikel ini samada sebahagian atau keseluruhan, dengan atau tanpa modifikasi dan tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik adalah dilarang sama sekali.

0 comments:

Post a Comment