16:07
8

Bagi yang baru berjinak-jinak untuk memelihara ayam belanda @ turkey @ piru, disini saya ingin berkongsi pengalaman dan panduan menternak ayam belanda khususnya untuk dijadikan haiwan hiasan atau pembakaan. Untuk makluman, saya mula menternak ayam belanda ni pada awal tahun 2012 dengan membeli sepasang baka Royal Palm yang telah matang. Pada mulanya saya langsung tak pernah terfikir untuk memelihara spesis ayam ini atas faktor saiznya yang sangat besar. Masa kanak-kanak dulu pun, saya memang takut dengan ayam belanda ni mungkin sebab saiznya yang lebih besar daripada badan saya dan ditambah lagi dengan penampilannya yang kelihatan ganas. Mukanya pun dah macam ahli sihir!

Pada January tahun 2012, saya pergi kesebuah rumah yang pemiliknya menternak angsa putih dengan hajat untuk membeli anak angsa putih tersebut. Ketika sedang asyik melihat anak angsa putih itu, terpandanglah sekumpulan ayam belanda Royal Palm dan ayam mutiara @ api-api yang juga dipelihara olehnya. Pemiliknya menyatakan bahawa ayam belanda memang suka makan rumput sehinggakan rumput-rumput dikawasan rumahnya tidak perlu lagi diracun atau dimesinkan. Memandangkan dikawasan rumah saya ada banyak rumput, jadi saya beli sepasang ayam belanda tersebut untuk dibiakkan dan dijadikan buruh sukarela bagi mencantas rumput-rumput yang tebal dikawasan rumah saya. Memang berkesan, ditambah lagi dengan adanya ayam mutiara, angsa putih, angsa kelabu dan itik mallard. Keempat-empat spesis burung ini memang suka makan rumput dan menjadi diet utama hariannya sehinggakan kawasan kandangnya sekarang ini dah jadi padang jarak padang tekukur.

Ok tanpa membuang masa, disini saya sertakan beberapa tips untuk membeli dan memelihara ayam belanda khususnya dan ayam-ayam jenis lain amnya:

1) Penyediaan Reban
Kalau dah nak pelihara ayam mestilah nak kena ada rumahnya atau lebih dikenali sebagai reban atau dipantai timur Semenanjung Malaysia dipanggil "gouk". Untuk anak ayam belanda, adalah lebih sesuai sekiranya rebannya itu dibuat dengan menggunakan jaring yang halus atau jaring yang lubangnya berdiameter kecil bagi mengelak sebarang jenis serangga terutamanya nyamuk dan lalat daripada memasukinya. Nyamuk merupakan musuh utama dan penyebab penyakit puru kepada anak-anak ayam belanda. Contoh reban boleh dilihat pada artikel Reban Anak Ayam. Reban anak ayam belanda juga perlu dilengkapi dengan mentol berkuasa sekitar 25watt (bergantung kepada spesifikasi reban dan keadaan cuaca) bertujuan untuk memanaskan badan anak-anak ayam tersebut. Bagi reban untuk ayam belanda dewasa yang dipelihara secara kurungan, saiz 10 x 6 kaki sudah memadai untuk kuantiti sekitar 5 ekor dan ianya boleh dimuatkan sehingga melebihi 20 ekor sekiranya reban tersebut dibuat sekadar untuk tempat tidurnya dan ayam dilepaskan pada waktu siang. Lagi besar saiz reban tu lagi baik. Manakala para yang digunakan sebagai tempat tidurnya perlulah menggunakan kayu yang mempunyai ketebalan sekitar 2x2 inci atau lebih. Ini bagi memastikan kemampuan kayu tersebut menahan bebanan berat ayam-ayam belanda tersebut. Adalah lebih baik sekiranya keseluruhan reban untuk ayam belanda dewasa tersebut diliputi dengan jaring halus atau kelambu bagi mengelak kemasukkan nyamuk yang menjadi punca penyakit puru.

2) Penyediaan Kandang
Sekiranya perlu, anda juga boleh membina kandang atau pagar disekeliling kawasan reban bagi mengelak ayam belanda tersebut berkeliaran jauh atau daripada serangan haiwan pemangsa. Antara faktor yang perlu diambil kira adalah ketinggian kandang. Sekiranya ketinggian kandang tersebut hanya sekitar 12 kaki, ayam belanda terutamanya yang betina masih mampu untuk terbang melintasinya dan keluar dari kandang. Walaubagaimanapun ia akan menghadapi kesukaran untuk memasukinya semula atas faktor kebebalan yang ada padanya. Sekiranya kandang dibuat dengan ketinggian sekitar 6 kaki, ianya sekadar cukup untuk menghalang ayam belanda yang bersaiz besar seperti yang jantan dewasa daripada keluar dari kandang, manakala ayam betina dan pejantan yang berusia muda masih mampu keluar dari kandang tetapi kebiasaannya ia boleh masuk semula dengan melompat keatas pagar yang dijadikan kandang tersebut atau terbang melintasinya. Sebaik-baiknya pagar kandang dibuat dengan menggunakan pagar jaring besi (pagar rumah) kerana ianya mempunyai struktur yang tajam dibahagian atasnya dan boleh menghalang ayam belanda daripada keluar dengan cara melompat keatasnya. Kalau anda mempunyai bajet yang besar, penggunaan zink industri adalah lebih baik kerana ianya lebih selamat dan boleh mengurangkan risiko serangan pemangsa seperti ular, musang, biawak dan sebagainya. Selain daripada itu, ia juga dapat menghalang penglihatan ayam belanda tersebut daripada melihat rumput-rumput yang ada diluar kandang yang mana boleh menarik minatnya untuk keluar dari kandang tersebut. Elak menggunakan pagar pukat yang berdiameter besar seperti pukat yang digunakan untuk projek penanaman kacang. Walaupun ianya murah tetapi boleh menyumbang kepada kematian ayam yang terbang dan melekat pada pukat tersebut. Selain daripada itu, pembinaan kandang juga bertujuan untuk mengelak ayam-ayam belanda tersebut daripada melakukan aktivitinya dikawasan rumah dan mengotori dengan najisnya. Ia juga boleh mengelak ayam-ayam belanda betina daripada bertelur disuatu tempat yang tidak kita ketahui. Pemantauan juga adalah lebih mudah sekiranya semua ayam belanda berada disatu tempat yakni didalam kandang. Ayam yang dipelihara secara lepas bebas didalam kandang juga adalah lebih sihat, cergas dan produktif berbanding ayam yang terkurung didalam reban. Manakala saiz kandang pula bergantung kepada keluasan tanah yang anda miliki dan juga bajet anda untuk membina kandang tersebut.

3) Pemilihan Anak/Induk Ayam Pembaka
Antara faktor-faktor yang perlu anda ambil kira adalah:

a) KUANTITI
Bergantung kepada budibicara dan bajet anda sendiri, pemeliharaan ayam belanda boleh dimulakan dengan membeli beberapa ekor anak atau sepasang ayam belanda yang telah dewasa samada yang dah matang atau yang telah menjadi induk. Bagi anak-anak ayam belanda yang masih kecil, anda mungkin akan mengalami kesukaran untuk mengenalpasti jantinanya. Oleh itu, pembelian dalam kuantiti yang banyak sekitar 5-10 ekor atau lebih adalah lebih terjamin bagi mendapatkan pasangan jantan dan betina. Setelah ayam tersebut dewasa sedikit, anda boleh menjual sebahagiannya untuk mendapatkan modal anda kembali dan menyara kos sara hidup yang lain atau disembelih untuk dirasai keenakkan dagingnya. Sekiranya anda membeli hanya 2 ekor sahaja, masalah mungkin akan berlaku dikemudian hari sekiranya salah seekornya mati atau anda memperoleh anak ayam belanda dengan jantina yang sama terutamanya yang jantan. Anda mungkin akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan pasangannya dan kosnya juga mungkin agak tinggi terutama sekali bagi ayam yang telah dewasa. Manakala nisbah jantina yang disyorkan untuk pemeliharaan ayam belanda adalah 1 jantan : 4 betina.

b) KUALITI
Sekiranya anda ingin memelihara ayam belanda untuk dibiakkan secara semulajadi dan tidak berhajat untuk menggunakan inkubator sebagai alat bagi proses pengeraman, adalah lebih baik anda mendapatkan ayam atau anak ayam belanda yang dibiakkan secara semulajadi juga, samada pengeramannya dilakukan oleh induknya sendiri atau pun oleh ayam yang lain. Ini bagi mempastikan yang induk betina ayam belanda anda pandai bertelur dan mengeram secara semulajadi. Kebiasaannya, mana-mana jenis ayam yang ditetaskan oleh inkubator tidak pandai bertelur dan mengeram. Ada yang bertelur dimerata-rata tempat dan ada yang langsung tidak mahu mengeram telur-telurnya. Sebahagiannya pula ada yang mungkin boleh mengeram tetapi tidak tahu melakukan pengeraman secara betul lantas menjadikan telur-telurnya rosak dan tidak menetas atau peratusan penetasannya terlalu kecil. Seringkali juga anak-anak ayam yang telah menetas mati akibat terpijak oleh ibunya yang sedang mengeram akibat ketidakpandaian ibu tersebut mengawal kedudukan kakinya. Memang logik bagi ibu ayam yang dibiakkan dari inkubator bersifat begitu kerana ianya tidak pernah diasuh dan diajar oleh ibunya secara semulajadi dan semestinya inkubator ciptaan manusia ini tidak sekali-kali mampu untuk mengajarnya. Jadi untuk mengelak masalah yang akan timbul dikemudian hari, adalah lebih baik anda mendapatkan ayam yang dibiak secara semulajadi walaupun harganya mungkin lebih mahal daripada ayam yang dibiak melalui inkubator. Anak-anak ayam yang dibiakkan melalui inkubator juga mudah mengalami sindrom down dan juga kecacatan fizikal terutamanya pada bahagian kakinya. Namun, sekiranya anda ingin memelihara khusus untuk dimanfaatkan dagingnya semata-semata, status pembiakkan ayam belanda tersebut bukanlah suatu persoalan yang penting bagi anda.

c) BAKA
Terdapat pelbagai jenis atau variasi ayam belanda. Pemilihan variasi ini bergantung kepada minat masing-masing. Apa yang penting adalah saiz. DiMalaysia terdapat 2 kategori bagi saiz ayam belanda. Yang pertama adalah yang bersaiz 10kg keatas dan yang kedua adalah kurang daripada 10kg (ukuran berat maksima untuk yang jantan dewasa). Ayam yang bersaiz 10kg keatas dianggap sebagai ayam belanda baka besar atau biasa. Manakala ayam belanda yang mempunyai berat dewasa kurang daripada 10kg dianggap sebagai ayam belanda baka kecil. Ayam belanda baka kecil ini juga mempunyai kaki yang pendek. Lazimnya ayam belanda jantan baka besar tidak mampu mengawan secara sempurna dengan ayam belanda betina baka kecil. Bahkan seringkali terjadi dimana ayam betina baka kecil tersebut mengalami kecederaan yang serius atau berakhir dengan kematian. Oleh itu, penyesuaian baka atau saiz ayam bagi yang jantan dan betina itu mestilah tepat dan tidak jauh berbeza.

4) Penjagaan
a) MAKANAN DAN MINUMAN
Bagi anak ayam yang berusia 1-30 hari, pemberian makanan berupa dedak halus jenama GoldCoin adalah disyorkan. Ini adalah kerana kandungan protinnya yang sangat tinggi dan membolehkan proses pembesaran yang lebih cepat serta semua ayam sangat suka memakannya. Bagi anak ayam yang baru menetas dan berusia bawah 1 minggu, anda boleh mencampurkan dedak tersebut dengan sedikit air agar ianya lebih lembut dan mudah dihadamkan. Makanan ini diberikan 2 kali atau lebih sehari dan sentiasa tersedia 24jam sehari. Selepas umurnya mencecah 2 minggu atau sebaik-baiknya 1 bulan, penggunaan mentol lampu boleh dihentikan bertujuan untuk menyesuaikan masa tidurnya secara semulajadi. Setelah ayam tersebut mencapai umur melebihi 1 bulan, anda boleh memberinya makan dengan dedak GoldCoin yang kasar atau dicampurkan dengan yang halus. Pada peringkat ini, pemberian makanan tambahan berunsurkan tumbuhan boleh diberikan secara beransur-ansur seperti rumput napier yang dipotong halus, daun pisang, jagung madu, gandum dan hampas kelapa. Setelah usianya mencecah sekitar 3 bulan, anda bolehlah melatihnya untuk memakan dedak kasar jenama lain yang lebih murah seperti A1 dan 3102 yang dicampurkan dengan makanan kebiasaannya. Cara ini dapat mengurangkan kos pembelian dedak GoldCoin yang agak tinggi. Manakala air minumannya pula bolehlah diberikan air paip. Penggunaan air tanpa klorin seperti air paip bertapis atau air mineral adalah amat disyorkan.

b) VITAMIN & ANTIBIOTIK
Pemberian ubat antibiotik & vitamin yang dicampurkan kedalam bekas air boleh dibuat sebaik sahaja anak-anak ayam diasingkan dari ibunya atau pun selepas usianya 1 minggu. Walaubagaimanapun, dos yang diberikan mestilah sedikit sahaja atau separuh daripada ayam dewasa. Ini bagi mengelakkan kematian mengejut anak-anak ayam tersebut kerana mungkin ada anak-anak ayam yang tidak boleh menerima kemasukkan ubat antibiotik kedalam badannya. Kebiasaannya saya memberi ubat antibiotik & vitamin secara berkala dan berselang-seli dengan air minuman biasa. Terdapat juga ubat antibiotik yang hanya disemburkan sahaja kebadan anak-anak ayam yang lazimnya digunakan untuk anak-anak ayam yang baru menetas.

c) VAKSIN
Setelah umur anak-anak ayam tersebut mencapai usia 1 bulan atau lebih, suntikan vaksin haruslah dilakukan bagi meningkatkan daya ketahanan antibodi anak-anak ayam tersebut terhadap serangan penyakit. Setiap suntikan boleh bertahan selama 6 bulan. Suntikan juga boleh dibuat samada oleh pegawai veterinar, klinik haiwan persendirian atau oleh anda sendiri. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Jabatan Veterinar negeri masing-masing.

5) Pembiakkan
a) PROSES MENGAWAN
Tempoh kematangan bagi ayam belanda adalah seawal usia 7 bulan atau lebih. Manakala proses pengawanannya pula adalah lebih lama berbanding dengan spesis ayam yang lain. Kebiasaannya kedua-dua ayam jantan dan betina akan mengembangkan bulu, merangkul tengkuk dan menari sebelum persenyawaan berlaku. Ada juga ayam belanda betina yang suka mencabar dan berlaga dahulu dengan yang jantan bahkan ada yang berlaga sehingga sehari suntuk dan bersambung keesokan harinya sebelum yang betina menyerah diri. Sekiranya anda memiliki lebih dari seekor pejantan, adalah lebih baik pejantan-pejantan tersebut diasingkan semasa proses pengawanan ini berlaku. Tujuannya adalah untuk mengelak terjadinya pergaduhan diantara pejantan-pejantan tersebut yang mana boleh mengganggu proses pengawanan yang sempurna selain memastikan pensenyawaan benar-benar berlaku. Sekiranya proses pengawanan tidak berlaku dengan sempurna, dikhuatiri telur-telur yang dihasilkan oleh ayam belanda betina itu tidak mengandungi sebarang benih. Pada peringkat ini juga anda perlu mempelbagaikan diet pemakanannya dan memaksimumkan makanan yang berprotin tinggi bagi menggalakkan hasil pengeluaran telur.

b) PROSES PENGELUARAN TELUR
Ayam belanda betina akan mula mengeluarkan telur setelah kira-kira 10 hari selepas proses pengawanan pertama berlaku. Dalam masa itu, anda perlu menyediakan sarang atau kotak tempat ayam-ayam belanda tersebut bertelur. Saiz kotak yang disyorkan adalah sekurang-kurangnya 1.5 kaki panjang x 1.5 kaki lebar dengan ketinggian 0.5-1 kaki atau sama paras dengan bahagian belakang ayam belanda tersebut ketika ia duduk didalamnya dan anda juga perlu meletakkan rumput-rumput kering, jerami padi dan sebagainya sebagai alas tempat ia bertelur. Ada juga ayam belanda yang gemar bertelur didalam semak atau rimbunan rumput. Sebahagian daripadanya juga sangat memilih tempat bertelurnya dan enggan bertelur didalam kotak yang disediakan. Ada juga yang memilih kotak sarang atau lokasi yang sama setiap kali bertelur. Masalah juga akan berlaku sekiranya kotak sarang yang digunakan olehnya sebelum ini telah digunakan oleh ayam yang lain terutamanya yang sedang mengeram. Sekiranya terjadi demikian, adalah lebih baik anda mengurungnya didalam reban sehingga ia bertelur beberapa biji didalam sarang yang disediakan sebelum anda membebaskannya kembali. Elakkan ia bertelur dikawasan semak terutama sekali semasa musim hujan kerana telur yang terkena air lazimnya mudah rosak dan tidak akan menetas. Sebaik-baiknya binalah reban yang berasingan sebagai tempat ianya bertelur.

Pada peringkat ini juga, pemberian makanan tambahan secara harian berupa kulit telur adalah sangat baik bagi menggalakkan proses pembinaan sel-sel cengkeram telur yang akan dihasilkannya dimana ianya sangat diperlukan oleh mana-mana ayam termasuk itik dan angsa yang sedang bertelur. Tujuannya adalah untuk mengelak kejadian dimana telur-telur yang dihasilkannya mengalami kecacatan kulit, tidak sempurna atau pecah. Pemberian makanan berupa dedak penelur adalah tidak disyorkan kerana ianya boleh mengakibatkan pengeluaran telur yang tidak mempunyai benih. Telur-telur peringkat pertama yang dihasilkan oleh ayam belanda yang baru belajar bertelur lazimnya bersaiz kecil dan ianya tidak digalakkan untuk dilakukan proses pengeraman kerana kebiasaannya ia akan menghasilkan zuriat atau keturunan yang bersaiz kecil. Jadi adalah lebih baik telur-telur peringkat pertama ini dirampas dan dijadikan makanan. Untuk makluman bagi mereka yang tidak pernah merasainya, rasa telur ayam belanda sangat enak dan berlemak, bahkan ada juga yang menjadikannya sebagai telur masin@asin.

c) PROSES PENGERAMAN
Proses pengeraman akan berlaku selama 26-28 hari sebelum telur-telur ayam belanda tersebut menetas bergantung kepada keadaan cuaca. Pemantauan juga perlu dilakukan bagi mengelak ayam belanda betina yang lain daripada bertelur dan berkongsi sarang dengan ayam yang sedang mengeram. Sekiranya terjadi demikian, adalah lebih baik bagi anda mengubah lokasi sarang ayam yang sedang mengeram tersebut atau mengurung ayam yang sedang bertelur didalam reban yang lain atau sebaliknya. Pemantauan terhadap serangan pemangsa yang gemar mencuri dan memakan telur seperti tikus, biawak dan sebagainya perlu dilakukan dari masa kesemasa bagi mengelak telur yang telah pecah terkena pada telur-telur yang lain. Telur-telur yang diselaputi lendir daripada telur yang telah pecah akan mudah rosak dan tidak akan menetas. Jadi adalah lebih baik ayam-ayam yang sedang mengeram ditempatkan didalam reban khas yang tertutup dan selamat daripada haiwan pemangsa.

Bagi penternak ayam belanda komersial, adalah lebih praktikal menggunakan khidmat inkubator untuk proses pengeraman. Walaubagaimanapun, penggunaan inkubator bukanlah jaminan mutlak yang telur-telur tersebut akan menetas atau tidak akan rosak samasekali. Ada juga kes dimana telur-telur yang dalam proses pengeraman rosak kesemuanya akibat keputusan bekalan elektrik atau kegagalan fungsi peralatan elektrik seperti mentol terbakar, pelaras suhu rosak, bateri sokongan tidak berfungsi dan sebagainya. Bahkan terdapat juga kes dimana anak-anak ayam yang telah menetas mati akibat kepanasan kerana kealpaan penternak mengeluarkannya dari inkubator.

d) PROSES PENETASAN
Proses penetasan lazimnya berlaku dalam masa 2 hari berturut-turut. Setelah kesemua anak-anak ayam belanda anda menetas, anda bolehlah memindahkan anak dan ibu ayam tersebut kedalam reban yang dikhaskan untuknya dan membiarkan anak-anak ayam tersebut dipelihara oleh ibunya atau anda asingkan daripada ibunya dan meletakkannya didalam reban yang dikhaskan untuk anak-anak ayam. Reban anak-anak ayam ini perlulah diletakkan sisa ketaman kayu yang bersaiz kecil bertujuan untuk penyerapan najis anak-anak ayam tersebut dan bukannya menggunakan habuk kayu yang halus. Ini bagi mengelakkan habuk kayu tersebut memasuki mata anak-anak ayam. Penggunaan rumput kering, jerami padi, sekam padi atau pasir juga boleh digunakan. Pemasangan mentol lampu juga perlu dilakukan sebaik sahaja anak-anak ayam tersebut dipindahkan kedalam reban. Untuk langkah penjagaan seterusnya, sila ikuti panduan yang telah dinyatakan diatas.

6) Teknik Penangkapan
Dalam masa-masa tertentu, kita mungkin perlu menangkap ayam-ayam belanda milik kita itu untuk sesuatu tujuan seperti merawat, mengambil ujian darah, menyuntik vaksin, melakukan pemindahan, menjual dan sebagainya. Tugas menangkap ayam belanda yang bersaiz besar pula boleh menjadi sukar dan mungkin juga akan mendatangkan kecederaan pada ayam tersebut sekiranya tidak dilakukan dengan cara yang betul. Cara atau teknik penangkapan yang betul bagi ayam belanda yang bersaiz besar adalah dengan memegang kedua-dua belah bahu sayapnya tetapi bukan sayapnya. Sekiranya anda ingin menangkap kakinya, maka kedua-dua kakinya mestilah ditangkap secara serentak. Tujuannya adalah untuk mengelak sebarang kecederaan pada struktur kakinya yang mana boleh mengakibatkan kakinya menjadi tempang atau terseliuh ketika ia cuba melepaskan dirinya. Sekiranya terjadi demikian, proses penyembuhannya akan mengambil masa yang agak lama atau mungkin juga akan mengalami kecacatan kekal sehingga akhir hayatnya. Elakkan daripada menangkap pada bahagian lehernya kerana ia boleh mengakibatkan kecederaan saraf yang lebih serius. Ayam belanda mempunyai sistem saraf yang sangat sensitif. Sekiranya sistem sarafnya terganggu atau tercedera, ia boleh mengakibatkan kekejangan otot, lumpuh atau sawan dan boleh juga berakhir dengan kematian serta-merta. Penangkapan pada bahagian ekornya pula boleh mengakibatkan kesemua ekornya tercabut dan proses pertumbuhan ekor-ekor baru pula akan mengambil masa berbulan-bulan lamanya.

PERHATIAN! Sekiranya anda ada memelihara angsa, jangan sesekali mencampurkan atau melepaskan anak-anak ayam belanda anda yang masih kecil bersama dengannya kerana angsa sangat marah dengan kehadiran anak-anak unggas yang bukan dari spesisnya dan ia akan membunuhnya satu persatu.

Semoga panduan memelihara ayam belanda ini dapat memberi manfaat kepada anda semua. Terima kasih.


Note: This article contains a street language of Bahasa Malaysia. Translation to other language may not accurate.

© 2014- Uniaga Aviary. Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan dan penerbitan semula artikel ini samada sebahagian atau keseluruhan, dengan atau tanpa modifikasi dan tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik adalah dilarang sama sekali.

8 comments:

  1. Terima kasih atas perkongsian info..

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih. Good info

    ReplyDelete
  3. thank you for your sharimg.

    ReplyDelete
  4. Nak reconfirm pasal ketinggian pagar.


    Sekiranya ketinggian kandang tersebut hanya sekitar 12 kaki, ayam belanda terutamanya yang betina masih mampu untuk terbang melintasinya

    12 kaki tu betul ker ?

    Nak confirmkan jer sebab dlm proses buat kandang ayam belanda

    ReplyDelete
  5. Ya tinggi kandang reban saya dulu 12 kaki menggunakan safety net tp dh dirombak semula sbb yg mana dh keluar xreti nk masuk balik. Kalo saiz kandang tu xberapa luas, mngkin dia xblh keluar.

    ReplyDelete
  6. THANK YOU SO MUCH FOR THE TIPS

    ReplyDelete