17:12
0

Bagaimanakah cara-cara membuat inkubator @ mesin pengeraman telur unggas sendiri seperti telur ayam, itik, angsa, puyuh dan pelbagai spesis burung yang lain? Nak beli yang dah siap untuk dijual, rasanya memang mahal harganya. Ada yang mencecah sampai beratus-ratus ringgit Malaysia tetapi kapasitinya hanya untuk beberapa biji telur sahaja, bahkan ada yang hanya setakat 3 biji telur ayam sahaja. Memang tak masuk akal tetapi kalau untuk telur burung Ostrich/Kasawari/Unta atau burung-burung eksotik bernilai tinggi, rasanya mungkin berbaloi apatah lagi jika unggas yang dipelihara itu hanya sepasang atau beberapa pasang sahaja dan jarang bertelur. Kalau untuk penternak/pembiak unggas komersial, penggunaan inkubator industri adalah lebih praktikal kerana kapasiti pengeraman telurnya sangat tinggi dan boleh mencecah sehingga beribu-ribu biji telur.
Persoalannya, kenapa nak guna inkubator? Jawapannya memang pelbagai. Antaranya:
1) Unggas yang dipelihara tidak pandai mengeram.
2) Induk bertelur dimerata tempat.
3) Masalah telur dipecahkan oleh induk atau induk makan telur.
4) Telur selalu kena curi atau dimakan haiwan pemangsa.
5) Telur sukar menetas terutama pada musim hujan (ni kes angsa/itik yang suka mandi hujan).
6) Induk bertelur terlalu banyak (contoh ayam mutiara).
7) Hanya beli telur daripada penjual unggas sebab nak beli unggas tak mampu.
8) Lebih cepat dapat untung sebab induk akan bertelur lebih banyak/kerap.
9) Lebih praktikal sebab anak-anak unggas boleh dihasilkan dalam kuantiti yang banyak dengan umur yang sekata.
10) Sebagai persediaan jika unggas yang sedang mengeram mati sebelum telur-telur sempat menetas.
Dan pelbagai lagi alasan yang menyebabkan perlunya menggunakan khidmat inkubator.

Pengenalan Inkubator (eggs incubator)
Terdapat pelbagai jenis dan rekabentuk inkubator yang terdapat dipasaran. Ada yang jenis berkipas (forced air) dan ada yang jenis tiada kipas (still air). Ada yang diperbuat daripada kayu, plastik, pvc, fiber, polisterin, polycarbonate, aluminium atau gandingan diantaranya. Ada yang operasinya dijalankan secara manual, auto atau semi-auto. Secara asasnya, inkubator memerlukan haba dan haba ini dijana menggunakan samada mentol atau logam pemanas bagi mendapatkan suhu yang diperlukan. Kedua, inkubator juga memerlukan udara bagi pernafasan embrio-embrio yang terdapat didalam telur dan udara tersebut memerlukan tahap kelembapan (humidity) tertentu. Saluran masuk udara segar kebiasaannya dibuat pada bahagian bawah dinding inkubator, manakala saluran keluar udara panas dibuat pada bahagian atas dinding inkubator dan/atau dibahagian permukaan atas inkubator. Kelembapan udara pula dijana dengan meletakkan sebekas air pada bahagian paling bawah atau bahagian lain yang sesuai didalam inkubator. Selain daripada itu, penggunaan kipas juga digunakan bagi menyamaratakan suhu kesemua arah didalam inkubator terutamanya inkubator industri atau yang bersaiz besar. Tray atau bekas untuk menyimpan telur adalah diperlukan bagi inkubator yang menjalankan operasi pusingan telur secara auto dan semi-auto, manakala pusingan telur secara manual tidak memerlukan bekas telur tetapi boleh dijadikan sebagai tambahan bagi menyenangkan kerja-kerja pembalikan telur selain kelihatan lebih tersusun. Bagi memudahkan pemantauan suhu yang tepat dan stabil, peralatan elektronik seperti thermometer bagi menyukat tahap kepanasan haba dan hydrometer bagi menyukat tahap kelembapan udara digunakan sebagai peralatan tambahan utama selain thermostat yang juga berfungsi sebagai alat kawalan haba dengan cara mematikan dan menyambungkan arus elektrik kepada lampu atau logam pemanas tatkala suhu melebihi aras yang ditetapkan. Sebahagiannya pula dilengkapi dengan bateri sokongan atau UPS (Uninterrupted Power Supply) bagi mengekalkan operasi inkubator tatkala bekalan elektrik terputus. Selain daripada itu, bakul juga digunakan untuk menempatkan anak-anak ayam yang baru menetas dan kebiasaannya ditempatkan diruang paling bawah didalam sesebuah inkubator khususnya inkubator industri. Aksesori lainnya adalah seperti lampu suluh yang digunakan sebagai alat untuk menentukan fertilasi atau kesuburan setiap telur.

Ciri-ciri Inkubator Automatik
Inkubator automatik merujuk kepada mesin pengeraman telur yang memiliki proses pembalikan telur menggunakan motor elektrik yang berfungsi secara automatik. Lazimnya ia juga dilengkapkan dengan alat kawalan suhu automatik samada yang berbentuk analog atau digital seperti thermostat, thermometer dan hygrometer. Harganya juga agak mahal sekitar RM400 hingga ribuan ringgit sebuah. Walau bagaimanapun, urusan pemantauannya sangat mudah kerana kerja pembalikan telur dan pengawalan suhu dibuat oleh mesin secara automatik.

Ciri-ciri Inkubator Manual
Inkubator manual pula merujuk kepada mesin pengeraman telur yang pembalikan telur dilakukan dengan menggunakan tangan. Telur akan dibalikkan atau dipusingkan satu persatu. Ianya lebih sesuai untuk jumlah telur yang sedikit kerana kerja-kerja memusingkan telur akan mengambil masa dan perlu dilakukan sekurang-kurangnya 2-3 kali sehari sehingga telur-telur tersebut menetas serta mesti dilakukan dengan cermat. Ia juga dilengkapi dengan alat kawalan suhu automatik atau manual. Kelebihannya adalah kapasiti pengeraman telur boleh ditingkatkan bergantung kepada cara penyusunan telur-telur tersebut dan kepelbagaian telur unggas juga boleh dilakukan dengan mudah. Selain daripada itu, harganya juga adalah lebih murah dan lebih penjimatan dalam penggunaan elektrik.

Ciri-ciri Inkubator Semi Auto
Inkubator semi-auto pula merujuk kepada mesin pengeraman telur manual yang pembalikan kesemua telur-telur dilakukan menggunakan tangan dengan hanya satu sentuhan. Lazimnya ia memerlukan tray atau bekas untuk menyimpan telur tetapi tidak menggunakan motor elektrik bagi menggerakkan tray/telur-telur tersebut. Sebahagiannya pula menggunakan bakul dan dialas dengan jaring besi bagi menyimpan telur-telur tersebut. Telur-telur akan digolekkan secara serentak dengan cara menarik atau menolak tray/jaring besi tersebut dengan satu sentuhan. Ia juga dilengkapi dengan alat kawalan suhu automatik. Sebahagiannya pula merujuk kepada inkubator yang beroperasi secara integrasi diantara manual dan automatik seperti proses pembalikan telur dilakukan dengan menggunakan motor elektrik, manakala proses pengawalan suhu dilakukan tanpa alat thermostat atau sebaliknya.

Kebaikan Menggunakan Inkubator
Antara kebaikan menggunakan inkubator adalah:
1) Boleh menghasilkan anak-anak unggas secara berskala besar.
2) Boleh menyelesaikan pelbagai masalah keselamatan telur.
3) Boleh meningkatkan jumlah pengeluaran telur.
4) Boleh melakukan pengeraman pada bila-bila masa.
5) Memudahkan pemantauan pengeraman.

Keburukan Menggunakan Inkubator
1) Bakal menghasilkan generasi unggas yang tidak pandai mengeram.
2) Risiko kerosakan telur sehingga 100% jika mesin gagal berfungsi.
3) Risiko kecacatan terhadap fizikal unggas yang berjaya menetas.
4) Perlu pemantauan dari masa kesemasa.
5) Pembaziran dalam penggunaan tenaga elektrik.

Pengalaman Membuat Inkubator Sendiri
Sebelum saya memulakan projek membina inkubator buatan tangan saya sendiri itu, terlebih dahulu saya membuat ujian suhu keatas ayam-ayam saya yang sedang mengeram. Tujuannya adalah untuk mengetahui suhu sebenar yang digunakan oleh ayam-ayam yang sedang mengeram kerana terdapat pelbagai info yang menyatakan suhu yang sesuai untuk proses pengeraman adalah diantara 36°C - 38°C dan ada juga yang menyatakan 37°C - 39°C, bahkan ada yang menyatakan sehingga 42°C. Jadi untuk mendapatkan kepastian, saya membuat ujian sendiri yangmana telah dilakukan keatas ayam-ayam milik saya yang sedang dalam proses pengeraman pada musim tengkujuh. Dengan menggunakan sebatang thermometer raksa, saya meletakkan thermometer itu dibawah perut ayam-ayam yang sedang mengeram untuk beberapa ketika. Boleh dikatakan hampir kesemua ayam-ayam tersebut menunjukkan bacaan suhu pada paras 37°C dan hanya seekor sahaja ayam saya yang mengeram dengan paras suhu yang agak tinggi iaitu 42°C. Jumlah telur yang diramkannya pula adalah sebanyak 10 biji dan ianya mengambil masa selama 17-18 hari untuk menetas. Pada hari yang ke-17 pengeraman, hanya seekor sahaja anaknya yang menetas dan pada hari yang ke-18 pengeraman, saya melihat sarangnya dipenuhi dengan anak-anak ayam yang kesemuanya menetas. Ayam yang dinyatakan tersebut adalah daripada spesis Onagadori. Manakala ayam yang mengeram dengan suhu 37°C itu terdiri daripada beberapa spesis ayam Bantam dan Hutan yang juga menetas pada hari yang ke 17 & 18 pengeraman. Suhu yang terlalu tinggi atau rendah juga boleh menyebabkan embrio didalam telur membesar dengan tidak sempurna atau mati kepanasan/kesejukan. Jadi pada pendapat saya, suhu yang paling sesuai digunapakai adalah diantara 37°C - 38°C. Dengan kata lain, suhu mestilah tidak kurang dari 36°C dan tidak melebihi 42°C. Manakala tahap kelembapan udaranya pula mestilah diantara 50-60%. Walau bagaimanapun, pada awalnya saya tidak menggunakan sebarang peralatan untuk mengukur tahap kelembapan udara, hanya dengan meletakkan sebekas air pada bahagian bawah pengadang haba/mentol bertujuan untuk mengelakkan air tersebut menjadi panas akibat terkena haba secara terus daripada mentol dan hasilnya kelembapan yang diperlukan didapati berada didalam lingkungan paras yang diperlukan setelah diukur menggunakan hygrometer digital seminggu kemudian. Walau bagaimanapun, ketepatan suhu yang dipaparkan oleh peralatan digital juga mungkin tidak tepat dan sebahagiannya mungkin berbeza sekitar 1°C lebih atau kurang berbanding paras suhu yang dipaparkan oleh peralatan konvensional seperti thermometer raksa dan lazimnya pengeluar produk tersebut telah menyatakannya pada pakej/kotak bungkusan. Jika diperhatikan pada ayam yang sedang mengeram, kebiasaannya ibu ayam akan menggolek keluar telur-telur yang telah mencapai kepanasan yang diperlukan daripada bawah perutnya dan menarik masuk atau mengantikan posisi telur dengan telur-telur yang memerlukan kepanasan. Sekiranya kesemua telur-telurnya telah mencapai kepanasan yang maksima, ibu ayam tersebut akan bangun dan berdiri seketika bagi melepaskan udara panas dibawah perutnya dan membiarkan udara sejuk memasuki kebawah perutnya lantas menstabilkan suhu telur-telur yang diramkannya itu. Proses ini hampir menyamai dengan penggunaan alat thermostat pada inkubator.

Bacaan suhu yang ideal.

Cara Mudah Membuat Inkubator Manual
Antara bahan asas yang diperlukan adalah:
1) Sebiji kotak samada yang diperbuat daripada kayu, plastik, polisterin dll. (kotak polisterin lebih ringan, siap sedia ada dan lebih mudah untuk membuat kerja-kerja penebukan lubang) - Kos RM0.. dapat percuma.
2) Cermin kaca atau plastik lutsinar (sebaik-baiknya yang nipis/ringan atau boleh juga guna cermin kaca akuarium terpakai) - Kos cermin RM0.. ambil kat almari terbuang & kos beli gam kaca RM7.
3) Mentol lampu, soket lampu, kepala plug dan wayar lampu (saya guna 1 biji mentol 15watt bukan LED) - Kos kesemuanya tak sampai RM10.. wayar tu pakai wayar lama yang dah ada, potong je lebih kurang 1 meter.
4) Bekas untuk mengisi air seperti cawan, mangkuk, botol, bekas makanan unggas dan sebagainya - RM0.. pakai bekas makanan plastik. Beli makanan kat pasar malam dapat bekas tu. :)
5) Sarang atau tray tempat menyimpan telur (jika perlu) - Kos RM0.. pakai bekas telur terbuang, boleh muat 30 biji telur ayam/itik. Cari kat dapur rumah atau kat kedai runcit/pasaraya.
6) Sekeping penghadang haba bagi menyamaratakan suhu kesemua arah (boleh guna sisa penutup kotak polisterin yang dipotong.) - Kos RM0.. buat sendiri je.
7) Thermometer & Hygrometer untuk menyukat suhu (yang jenis digital 2 dalam 1 harga sekitar RM20). - Kos beli RM25.90 siap pos dari Penang hantar ke Terengganu, harga seunit RM19. Cari kat lelong.com.my.. ada pelbagai jenis & harga pun bermacam-macam. Tapi kalau dah terer macam ayam, xperlu lagi guna benda alah ni. :D
8) Batang pen marker terpakai atau paip pvc berlubang kecil atau batang buluh kecil atau apa-apa yang sesuai untuk diletakkan pada lubang udara. Tujuannya sekadar untuk kelihatan cantik dan kemas sahaja. Tudung pen marker tu pulak boleh dijadikan sebagai penutup lubang jika perlu dan bahagian hujung dekat mata pen yang berlubang kecil tu boleh digunakan sebagai saluran udara gantian sekiranya tahap suhu didalam inkubator memerlukan hanya sedikit perubahan suhu. - Kos RM0.. yang ni boleh buat sendiri, tak yah pakai pun xpe.
Selain daripada itu, anda juga boleh meletakkan span kedalam bekas air agar airnya tidak tertumpah. Boleh juga meletakkan jaring besi bagi tujuan penyimpanan haba sekiranya bekalan elektrik terputus dengan menjadikannya sebagai pelapik telur atau penghadang diantara bahagian telur dan bahagian bekas air supaya anak-anak unggas yang baru menetas tidak jatuh kedalam air.
Secara keseluruhannya, anda boleh menilai sendiri berapa banyak penjimatan yang anda boleh buat berbanding membeli inkubator baru yang terdapat dipasaran.

Proses Pembinaan Inkubator
Bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan inkubator buatan tangan saya sendiri ini, saya menggunakan sebuah kotak polisterin yang diperolehi secara percuma daripada seorang rakan saya yang berniaga dipasar. Saiz kotak tu jika diukur dari luar termasuk penutupnya adalah 19½ inci panjang, 15 inci lebar dan 13½ inci tinggi. Bahagian penutup kotak tu juga dipotong bagi menampal sekeping cermin terbuang yang berasal daripada sebuah almari lama yang telah rosak. Cermin ini ditampal dengan menggunakan gam kaca silikon dan dibiarkan selama 1 hari bagi mempastikan gam tersebut benar-benar kukuh. Tujuan penggunaan cermin kaca ini adalah untuk melihat persekitaran dalaman inkubator termasuk peralatan bagi membaca tahap suhu semasa, jumlah kandungan air dan keadaan telur. Setelah mempastikan cermin telah melekat dengan sempurna, saya mula menebuk lubang udara disetiap penjuru penutup kotak tersebut dengan menggunakan kelongsong batang pen marker yang telah siap dipotong mengikut ketebalan penutup kotak tersebut. Maka selesailah sudah kerja-kerja dibahagian penutup. Kemudian saya beralih kepada kerja-kerja dibahagian badan inkubator pulak. Mula-mula saya menyiapkan pendawaian untuk mentol dahulu. Kemudian, saya menebuk lubang dibahagian atas dinding belakang dengan menggunakan soket lampu tersebut dan mempastikan ianya berada dalam keadaan kemas. Selepas itu, barulah mentol dipasangkan ke soketnya dan mempastikan ianya berfungsi. Pada mulanya, saya menggunakan sebiji mentol berkuasa 25watt tetapi suhunya menjadi terlalu tinggi sehingga mencecah melebihi 40°C dalam jangkamasa yang singkat. Jadi saya bertukar ke mentol 15watt yang didapati lebih sesuai digunakan semasa musim tengkujuh selain lebih menjimatkan penggunaan elektrik. Setelah selesai memasang mentol, saya memasukkan bekas telur, bekas yang berisi air, penghadang, dan alat bacaan suhu serta menebuk beberapa buah lubang udara pada dinding kotak tersebut. Masing-masing 6 buah lubang bersaiz kecil dengan menggunakan kelongsong benang yang telah habis dipakai dan dipotong dua. Posisi lubang ni terletak dibahagian atas dan bawah dinding (panjang kotak). Manakala dibahagian lebar kotak hanya ditebuk 1 lubang dibahagian tengah yang dijadikan sebagai hadapan kotak dan dibahagian belakangnya ditebuk 2 buah lubang bersaiz besar menggunakan kelongsong pen marker, masing-masing 1 dibahagian tengah paling bawah dan 1 lagi dibahagian tengah dinding (bawah lampu). Kalau nak tebuk guna pen biasa, pen marker, paip pvc, drill atau jari pun boleh, janji ada lubang untuk udara masuk dibahagian bawah/tengah dan udara keluar dibahagian atas. Jumlah, saiz dan posisi lubang-lubang ni sebenarnya bergantung kepada kreativiti anda sendiri. Motifnya hanya untuk mendapatkan kestabilan suhu didalam inkubator dan perlu dilakukan satu persatu serta dipantau suhunya setelah lubang ditebuk. Sekiranya suhu masih melebihi paras yang dikehendaki, bermakna lubang yang sediada belum mencukupi dan sekiranya suhu jatuh melebihi paras minimum, bermakna satu atau lebih lubang-lubang yang sediada perlu ditutup. Suhu didalam inkubator juga akan berubah dari masa kesemasa bergantung kepada suhu luaran seperti diantara waktu siang & malam, hujan & panas, musim tengkujuh & kemarau, bilik berhawa dingin & tanpa hawa dingin dan lain-lain implikasi. Jadi pemantauan perlu dilakukan selalu. Kalau tiada masa atau malas nak pantau, ada baiknya guna alat thermostat yang berfungsi sebagai alat untuk mematikan dan menghidupkan arus elektrik secara otomatik kepada lampu. Ujian suhu ini juga perlu dibuat sekurang-kurangnya 24jam sebelum memulakan operasi pengeraman telur dilakukan. Bila suhu dah mula stabil sekitar 37°C - 38°C, barulah telur dimasukkan satu persatu. Kebiasaannya suhu akan jatuh sekitar 1°C setiap kali penutup kotak dibuka bagi tempoh 1 minit dan ianya adalah normal. Sekiranya suhu meningkat secara mendadak terutamanya pada hari yang panas terik, cara mudah untuk menstabilkan suhunya adalah dengan membuka sedikit atau sebahagian penutup kotak bagi memberi laluan udara panas keluar tanpa perlu menebuk lubang yang lain atau boleh juga memadamkan lampu untuk sementara waktu. Sekiranya suhu jatuh mendadak terutamanya semasa hujan lebat, cara mudah untuk menstabilkan suhunya adalah dengan menutup permukaan atas inkubator menggunakan sehelai tuala. Kalau dimusim kemarau, anda mungkin perlu membuat lubang kotak dengan lebih banyak/besar atau sebaik-baiknya tukar sahaja ke mentol lampu yang mempunyai kuasa watt yang lebih rendah seperti 5watt dan tutup/bukak mana-mana lubang jika perlu sehingga suhu mencapai paras yang dikehendaki. Walau bagaimanapun, anda juga perlu mengetahui bahawa tahap suhu yang dihasilkan bagi setiap mentol lampu mungkin tidak sama antara satu sama lain meskipun kuasa wattnya adalah sama. Sebagai contoh, lampu yang daripada jenis LED atau yang ada ciri-ciri penjimatan elektrik adalah lebih rendah kadar suhu yang dihasilkannya. Manakala suhu yang dihasilkan oleh mentol yang berkaca kristal adalah lebih panas berbanding mentol berkaca putih/berwarna. Paras suhu juga akan meningkat setelah embrio didalam kesemua telur bertukar menjadi anak ayam yang hampir sempurna dan dalam peringkat penetasan. Suhu juga boleh meningkat secara mendadak melebihi 42°C walaupun suhu luarannya adalah sejuk dan ini merupakan salahsatu penyebab kenapa anak-anak ayam yang telah sempurna didalam telur mati diperingkat penetasan.

Cara penyusunan tanpa sarang telur.

Penyusunan menggunakan sarang telur.

Anak-anak ayam yang baru menetas.

Anak-anak ayam yang telah dipindahkan kereban khas.

Inkubator jenis ini juga boleh diubah posisinya mengikut citarasa anda sendiri samada secara melintang (penutup/pintu dihadapan dan mentol disebelah kiri/kanan), menegak (penutup/pintu dihadapan, mentol diatas) atau mendatar (penutup diatas, mentol disebelah kiri/kanan/belakang). Kapasiti telur juga boleh ditambah dengan cara penyusunan telur atau menggunakan bakul/tray bertingkat. Ia juga boleh diubah menjadi fully auto dengan menambahkan peralatan elektronik yang diperlukan. Selain itu, ianya lebih mudah dicuci dan badannya juga boleh digantikan dengan yang lain tanpa perlu membuat penutup yang baru. Semuanya bergantung kepada kreativiti anda sendiri. Untuk pengetahuan anda juga, kat tv dulu pernah dipaparkan seorang wanita dari negara barat yang berjaya menetaskan anak ayam dengan hanya mengeramkan telur ayam tersebut dibawah ketiaknya! Haa.. ada sesiapa yang nak cuba?




Bagaimana Menentukan Fertilasi Telur?
Bagi menentukan status telur samada mengandungi benih atau pun tidak, anda perlu melakukan peneropongan (candling) bagi setiap biji telur yang telah mencapai tempoh pengeraman sekitar 7 hari dengan menggunakan lampu suluh atau lain-lain jenis lampu yang sebaik-baiknya bersaiz kecil dan terang. Sekiranya lampu tersebut bersaiz besar, anda boleh membina teropong@corong dengan menggunakan sebarang bahan yang bukan lutsinar seperti kertas tebal bagi mengecilkan ruang cahaya agar ianya dapat menyuluh pada bahagian telur sahaja. Ia juga perlu dilakukan dalam suasana yang gelap. Jika anda dapat melihat didalam telur tersebut terdapat 1 titik hitam yakni embrio dengan pembuluh darah yang kelihatan seperti akar yang berselerak, ini bermakna telur tersebut mempunyai benih yang hidup. Sekiranya hanya ada titik hitam tetapi tiada akar yang berselerak, ini menandakan bahawa embrio yang terdapat didalam telur tersebut telah mati. Jika tiada apa-apa yang anda dapat lihat yakni hanya ada kuning telur, putih telur dan ruang udara didalam telur, bermakna telur tersebut tidak mengandungi sebarang benih. Sekiranya anda dapat melihat satu lingkaran/cincin yang jelas, ini bermakna telur tersebut telah rosak dijangkiti bakteria.

Embrio & pembuluh darah - hari ke 6.

Embrio yang semakin membesar - hari ke 12.

Telur yang tiada benih - hari ke 12.

Telur yang rosak (ada gelang) - hari ke 12.

Sekiranya inkubator anda mengeluarkan bau busuk, ini menunjukkan salahsatu atau lebih telur yang ada didalamnya telah rosak. Anda perlu mencari telur yang busuk tersebut dengan memciumnya satu persatu. Setelah dijumpai, telur tersebut perlu dikeluarkan dari inkubator lalu dilupuskan tanpa perlu melakukan proses candling. Sekiranya anda gagal berbuat demikian, ada kemungkinan yang telur tersebut akan meletup dan merosakkan kesemua telur-telur yang lain*. Proses mencucinya memang agak cerewet dan baunya juga "harum" semerbak dan sukar untuk dihilangkan. Ada yang terus give-up guna inkubator bila dah terkena macam ni. Jadi cara pengeraman alternatif menggunakan inkubator ni bukanlah sesuai untuk semua orang kerana ia memerlukan sepenuh komitmen, lebih-lebih lagi masa yang perlu diluangkan apatah lagi jika anda menggunakan inkubator jenis manual.. hari-hari nak kena balikkan telur.. 2-3 kali sehari pulak tu, sampai la telur tu menetas. Kena 100 biji boleh melecet tangan tu. Hehe.. Kalau pakai pekerja/pembantu untuk menguruskannya, pastikan pembantu tersebut boleh diharap dan bukannya yang jenis "lurus bendul". Apa-apa hal pun selamat mencuba dan selamat berjaya. Terima kasih.

*Info tersebut diperolehi daripada seorang pengusaha & pengimport inkubator yang juga merupakan seorang pelanggan saya.


Note: This article contains a street language of Bahasa Malaysia. Translation to other language may not accurate.

© 2017 Uniaga Aviary. Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan dan penerbitan semula artikel ini samada sebahagian atau keseluruhan, dengan atau tanpa modifikasi dan tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik adalah dilarang sama sekali.

0 comments:

Post a Comment