09:36
1

Jom mari kita mengenali beberapa jenis haiwan pemangsa yang seringkali menyerang binatang peliharaan atau haiwan kesayangan kita khususnya bagi yang menternak unggas seperti ayam, burung, itik, angsa dan sebagainya. Sememangnya ia menjadi igauan bagi para penternak/pemelihara unggas terutamanya bagi mereka yang tinggal dikawasan kampung atau pendalaman. Haiwan peliharaan yang selalu menjadi mangsa kebiasaannya dipelihara secara lepas bebas, namun serangan juga boleh berlaku terhadap haiwan yang berada didalam sangkar, reban atau kandang sekiranya aspek keselamatan tidak diambil kira atau dipandang remeh. Kadang-kadang reban yang tertutup rapi dan berkunci serta diyakini tidak akan dibolosi oleh haiwan pemangsa pun masih gagal menghindari unggas ternakan daripada menjadi mangsa haiwan liar. Mungkin juga atas faktor reban yang hanya dibina khusus untuk menghindari serangan daripada haiwan pemangsa tertentu sahaja, walhal terdapat pelbagai jenis haiwan pemangsa yang boleh menyerang haiwan atau unggas ternakan kita samada secara kita sedari atau pun tidak terutama sekali pada waktu malam. Justeru itu, disini saya cuba senaraikan beberapa jenis haiwan pemangsa yang menjadi lumrah bagi kebanyakan pemilik-pemilik unggas dinegara kita ini yang mana sebahagiannya pernah dihadapi oleh saya sendiri.

BERUANG:


Beruang Madu (Ursus malayanus).

Ni jenis pemangsa yang jarang dihadapi oleh pemilik unggas dinegara kita ni. Diet pemakanannya hampir sama dengan manusia seperti daging, sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain daripada tu, ia juga gemar memakan madu lebah dan anai-anai. Antara unggas saya yang dikhuatiri pernah menjadi mangsanya adalah seekor ayam api-api@mutiara dewasa dan seekor induk jantan angsa putih saya yang paling besar yang mana ketika waktu kejadian, kedua-dua kumpulan spesis unggas tersebut dilepaskan untuk berkeliaran bebas memakan rumput disekitar kawasan berdekatan. Kejadian tersebut berlaku pada waktu petang dan ketika hujan turun. Walaubagaimanapun, ianya hanyalah andaian saya semata-mata berdasarkan keadaan dilokasi kejadian. Saya juga pernah terserempak dengan seekor anak beruang yang saiznya sebesar anjing kampung dewasa yang cuba memanjat pagar setelah memasuki kekawasan laman rumah jiran bersebelahan dan beberapa penduduk kampung juga pernah melihat kelibat beberapa ekor anak dan beruang dewasa. Sementara itu, jiran saya yang satu lagi pernah juga mengalami kerugian gara-gara buah rambutannya disapu bersih angkara perbuatan beruang. Kebun buah-buahannya pulak bersebelahan dengan kandang unggas saya. Beruang yang tertera didalam gambar diatas adalah beruang Madu jantan. Beruang tersebut mati dilanggar oleh sebuah van ketika cuba melintas jalanraya yang jaraknya hanya beberapa meter dari rumah saya.

MUSANG:


Musang Buah.
(Gambar adalah sumbangan saudara Anas dari Hulu Langat, Selangor, Malaysia).

Haiwan pemangsa ni memang selalu memburu mangsanya pada waktu malam dan antara makanan kegemarannya adalah ayam dan buah pisang. Pernah jugak terserempak dengannya yang suka duduk diatas atap rumah. Walaubagaimanapun, saya kurang pasti jika ada ternakan saya yang pernah menjadi mangsanya sebab tak pernah melihat aksinya menangkap unggas disamping tiada bukti kukuh yang membolehkan saya menuduhnya. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa ekor anak dan induk itik mallard saya yang dikhuatiri dibaham oleh musang atau mungkin juga oleh ular sawa.

ULAR:


Ular Sawa.

Kebiasaannya spesis ular yang selalu memburu unggas adalah ular sawa. Kalau kat reban unggas saya ni, ular sawa duduk ranking nombor satu sebagai haiwan pemangsa yang sememangnya hadir secara konsisten setiap tahun. Memang ada je unggas saya yang menjadi mangsanya terutama ayam, itik dan angsa.

BIAWAK:


Biawak Kampung.

Biawak Riang.

Kat tempat saya ni, biawak yang paling glamour ialah biawak Riang dan biawak Kampung. Biawak Riang memiliki badan yang berbintik kuning dan bersaiz besar. Ada yang boleh mencecah sehingga sebesar paha laki-laki dewasa.. persis seperti anak buaya. Kebiasaannya biawak jenis ni lebih gemar berada dikawasan sekitar sungai. Manakala biawak kampung mempunyai saiz badan yang lebih kecil. Biawak kebiasaannya mencari makanan pada waktu siang. Antara diet pemakanannya adalah cacing, ikan, bangkai binatang, telur-telur unggas dan juga anak-anak ayam. Kebaikannya pulak, kalau ada unggas yang mati atau telur yang tembelang, boleh la bagi makan biawak ni. Jadi takdelah membazir sangat dan kita tak perlu nak bersusah-payah untuk melupuskan unggas-unggas yang dah mati.

TIKUS:
Rasanya semua orang tahu tabiat tikus ni. Selain suka mencuri makanan, ia juga adalah haiwan perosak yang boleh membawa pelbagai jenis virus dan penyakit. Antara makanan yang selalu dicurinya adalah makanan ternakan dan telur-telur unggas terutamanya telur-telur burung dan ayam yang bersaiz kecil atau berkulit nipis seperti telur ayam bantam, serama, burung puyuh dan lain-lain. Bahkan ia juga memakan daging unggas secara hidup-hidup. Antara unggas saya yang pernah menjadi mangsanya adalah ayam belanda. Terdapat juga aduan daripada para penternak kambing yang haiwan mereka juga digigit oleh tikus. Walaubagaimanapun, kecederaan yang dihadapi oleh mangsa-mangsanya itu tidak mendatangkan maut serta-merta kerana hanya sebahagian kecil sahaja daging yang dimakan oleh tikus tersebut terutama sekali pada bahagian paha. Yang peliknya macamana ayam yang sebahagian dagingnya itu dimakan oleh tikus boleh jadi tak sedar atau hanya membiarkan sahaja. Situasi tu mungkin sama seperti orang yang digigit lintah, pacat atau nyamuk tetapi ia tidak menyedarinya. Selain daripada itu, tikus juga suka membuat lubang bagi membolehkannya memasuki kedalam reban. Sekiranya reban tersebut gagal dimasuki dengan cara mudah, ia akan menggigit mana-mana bahagian reban yang boleh ditembusinya termasuk bahagian papan dan juga jaring terutama sekali jaring yang diperbuat daripada nylon, plastik atau dawai besi yang berkualiti rendah. Cara lainnya adalah dengan menggali lubang dibahagian luar reban untuk dijadikan terowong bawah tanah yang menghubungkan ke bahagian dalaman reban. Tikus ni walaupun takde ijazah kedoktoran, tapi memang pakar dalam bab-bab kerja macam ni, bahkan paip keluli pun masih mampu digigitnya. Lubang yang dibuat oleh tikus tersebut juga mungkin digunakan pula oleh pemangsa-pemangsa lain seperti ular atau biawak kecil.

KUCING:


Kucing Kampung Kacukan.

Ni kategori haiwan peliharaan atau kesayangan yang boleh bertukar menjadi haiwan pemangsa terutama sekali bilamana takde sesiapa yang tengok kerja-kerja terkutuknya tu. Antara yang sering menjadi mangsanya adalah burung-burung kecil yang berada didalam sangkar samada ianya berjaya ditangkap oleh kucing tersebut atau ianya mati kerana kecederaan ketika cuba menyelamatkan dirinya atau mungkin juga akibat tekanan dan ketakutan yang teramat sangat. Kucing ni kalau kat depan tuannya, memang la nampak baik sesangat.. kira macam haiwan mithali la gitu.

ANGSA:


Angsa Kelabu.

Ni juga kategori haiwan peliharaan yang juga boleh menjadi haiwan pemangsa. Tabiat angsa ni.. dia tak boleh tengok anak unggas yang bukan daripada spesisnya. Antara yang selalu menjadi mangsanya adalah anak-anak ayam yang baru menetas. Tapi kalau yang sebangsa dengannya, memang dia jaga habis-habisan walaupun yang bukan daripada zuriatnya sendiri.

ANJING:


Anjing Kampung (milik jiran).

Samada anjing liar atau anjing peliharaan, spesis haiwan yang samseng ni memang gemar memburu unggas terutamanya ayam dan burung. Sebenarnya dia bukanlah nak makan sangat ayam atau burung tu, tapi lebih kepada hobi atau tabiatnya yang suka memburu dan ingin menguji keupayaannya untuk menangkap mangsa. Pastu bila dah dapat, boleh pulak dia bawak mangsanya tu dan tunjuk kat tuan dia. Ingat dia hebat sangat la tu! Ni dah terjadi beberapa kali kat saya sendiri dan juga beberapa penternak yang lain. Antara unggas saya yang pernah menjadi mangsanya adalah ayam belanda, ayam kampung dan burung merpati.

BABI@KHINZIR:


Babi Hutan.

Spesis babi ni pulak kebiasaannya mencari makanan pada waktu siang dan lebih aktif lagi pada waktu malam. Diet pemakanannya memang tidak khusus, kira belasah apa sahaja yang boleh dimakan.. memang tak memilih dia ni. Antara yang menjadi mangsanya adalah ayam, itik dan angsa.. tak kira kecil atau besar.. asal dapat, hentam saje. Ni berdasarkan aduan daripada beberapa penternak dan rasanya belum pernah terjadi lagi dekat saya walaupun kandang angsa dan itik saya pernah diserang oleh sekumpulan babi hutan.

MONYET:


Lotong.

Hampir kesemua spesis monyet termasuk Kera, Beruk, Lotong dan sebagainya adalah haiwan yang suka mencuri. Antara makanan yang selalu dicurinya adalah telur-telur ayam, itik dan angsa. Jika terdesak, haiwan ternakan pun akan menjadi sasarannya. Salahsatu petua untuk menghalau spesis monyet ni pula adalah dengan menangkap salah seekornya, kemudian badannya itu dicat dengan warna merah/kuning bertujuan untuk menakutkan suku-sakatnya yang lain. Suku-sakat atau kaum kerabatnya itu akan lari bertempiaran setiap kali ia cuba mendekati mereka kerana takut kepadanya. - Gambar yang tertera diatas merupakan salah seekor lotong yang berjaya ditangkap dan dilepaskan kembali.

BURUNG HELANG:
Burung Helang merupakan pemangsa tegar yang berburu disiang hari. Antara yang selalu menjadi mangsanya adalah anak-anak ayam, itik, ikan, arnab, tikus, ular dan juga burung terutamanya burung merpati yang dibiarkan terbang bebas diudara.

BURUNG SEWAH:
Bentuk badan dan tabiat burung Sewah adalah hampir sama dengan burung Helang, cuma saiznya adalah lebih kecil sedikit. Warna bulu badannya bercorak kurik dan memang menarik. Haiwan ini kebiasaannya mencari makanan pada waktu siang. Antara yang sering menjadi mangsanya adalah anak-anak ayam, burung, pokke, mengkarung, ular kecil, ikan dan sebagainya.

BURUNG HANTU:
Burung Hantu merupakan haiwan nocturnal yakni yang hanya aktif mencari makanan pada waktu malam. Ternakan saya yang selalu menjadi mangsa adalah ikan-ikan yang terdapat didalam kolam hiasan antaranya adalah ikan koi, tilapia dll. Ada kemungkinan juga yang burung hantu ini menyerang anak-anak itik atau angsa yang dibiarkan berkeliaran bebas dimalam hari. Walaubagaimanapun, rasanya belum pernah terjadi lagi kepada ternakan unggas milik saya. Tetapi ada kebaikan jugak burung hantu ni sebab ia juga adalah pemakan tikus.

HAMA:
Hama adalah sejenis parasit yang juga merupakan haiwan pemangsa yang bersaiz sangat kecil, berbentuk bulat dan berwarna putih, hitam atau merah. Lazimnya hama tidak memudaratkan unggas-unggas yang telah dewasa, namun ada juga kes dimana hama boleh menyebabkan kematian berskala tinggi terhadap anak-anak ayam yang baru menetas. Bahkan ada juga anak-anak ayam yang baru menetas mati kesemuanya sekali. Ini berdasarkan pengalaman daripada beberapa penternak ayam dan saya juga pernah mengalaminya sendiri sebanyak satu kali yang mana kesemua anak-anak ayam belanda saya yang baru menetas mati kesemuanya pada keesokan hari sedangkan ibunya masih sihat dan cergas.

NYAMUK:
Nyamuk merupakan spesis haiwan pemangsa yang tidak langsung. Ia hanya menghisap darah mangsa sekadar untuk mengenyangkan perutnya yang hanya bersaiz kecil tu. Walaubagaimanapun, ia juga boleh menyebarkan bakteria tertentu yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit merbahaya dan sebahagiannya pula boleh membawa maut jika tidak ditangani dengan segera. Sebagai contoh, gigitan nyamuk boleh mengundang penyakit demam denggi dan juga penyakit puru terhadap unggas-unggas yang memiliki kurang daya ketahanan melawan penyakit. Mangsa yang terkena penyakit ini juga boleh berakhir dengan kematian jika tidak dirawat dengan betul.

VIRUS@BAKTERIA@KUMAN:
Kuman merupakan haiwan yang bersaiz paling kecil sekali didunia sehinggakan mata kasar manusia tidak dapat melihat akan kewujudannya. Ia juga merupakan pemangsa yang paling merbahaya sekali. Banyak jugak haiwan ternakan yang mati akibat serangan daripada kuman ni, bahkan ada juga penternak yang gulung tikar gara-gara serangan daripada pemangsa yang berstatus halimunan ni. Ada juga spesis kuman yang kebal dengan ubat antibiotik atau vaksin dan ada juga yang boleh melakukan mutasi dengan bertukar kepada spesis yang baru seperti virus H.I.V, H1N1, H5N1 dan sebagainya.

MANUSIA:
Haa.. ni la jenis pemangsa yang paling sukar untuk dibendung. Aktivitinya tidak mengira waktu dan tidak mengira samada tuan unggas ada ke takde.. asal dapat peluang baik je, memang disebatnya unggas kita ni. Tak tau la apa puncanya yang dia nak sangat unggas atau ternakan kita tu hatta dengan cara mencuri sekalipun. Adakah kerana nak buat duit.. dapat unggas, pastu jual kat orang lain? Ke takde duit atau tak cukup duit nak beli? Atau ada duit tapi kedekut nak keluarkannya? Atau bengang dengan pemilik unggas.. mintak harga kurang tapi tak dapat, tak pun pemilik unggas enggan menjualnya? Atau sekadar hobi sahaja? Ke ada sebab-sebab lain?

Walau apa pun sebabnya, memiliki sesuatu dengan cara yang bathil yakni dengan cara yang tidak sah dan menyusahkan orang lain pulak tu adalah berdosa disisi Allah dan salah disisi undang-undang. Nak ikutkan kena potong tangan tu. Kalau dah takde tangan mesti le susah nak mencuri.. ye tak? Kalau kena potong tangan kiri, haru la nak basuh berak nanti. Kalau anda yang sedang membaca artikel ni dan pernah buat kerja terkutuk tu, cermin-cerminlah diri dan ingatlah.. Kita hidup bukannya lama pun. Kalau yang tengah plan nak buat kerja terkutuk tu.. fikirkanlah balik.. suatu hari bila kita dah insaf, macamana kita nak memohon maaf kat tuan unggas tu kalau tuan unggas tu dah meninggal dunia atau macamana kita nak ganti balik kalau unggas yang kita curi tu mati, hilang atau kena curi pulak dengan orang lain. Fikir-fikirkanlah ye.

Walaupun saya belum pernah mengalami masalah unggas yang dicuri, tetapi ada banyak aduan daripada beberapa penternak unggas yang lain dan saya percaya masih ramai lagi pemilik unggas yang pernah mengalami masalah dengan pencuri yang mengaku dirinya manusia ni.

Ok, tamat dah.

Jika terdapat jenis-jenis haiwan pemangsa yang lain lagi, anda bolehlah memasukkannya disini dengan meninggalkan komen dibawah. Terima kasih.

Note: This article contains a street language of Bahasa Malaysia. Translation to other language may not accurate.


© 2015- Uniaga Aviary. Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan dan penerbitan semula artikel ini samada sebahagian atau keseluruhan, dengan atau tanpa modifikasi dan tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik adalah dilarang sama sekali.


1 comments:

  1. Tapi angsa ni sangat suka cubit itik serati saya waena hitam putih,nampak je langsung cubit,kat kolam pun jadi, mungkin angsa tak suka hitam tak,

    ReplyDelete