22:36
3

Terdapat beberapa cara untuk mengenali perbezaan antara Ayam Hutan Merah Malaysia yang asli/liar dan Ayam Hutan Kacukan. Antara ciri-ciri perbezaan yang paling ketara khususnya bagi ayam jantan dewasa adalah:

1) EKOR SISIR
Ayam Hutan Asli hanya mempunyai ekor sisir @ ekor pipi maksimum 4 helai bagi setiap sisi ekornya, manakala Ayam Hutan Kacukan kebiasaannya mempunyai lebih daripada 4 helai.

Ayam hutan kacukan yang memiliki ekor sisir 5 helai (tanda kuning).

Contoh ayam hutan kacukan yang memiliki ekor sisir sebanyak 4 helai sama sepertimana ayam hutan yang asli. Walaubagaimanapun, bentuk muka, balung dan juga bentuk badannya jelas ketara berbeza dengan berat badan mencecah 800gram. Ayam ini merupakan generasi kedua atau lebih dikenali sebagai "ayam hutan 2 lapis" yakni salahsatu daripada datuk atau neneknya merupakan ayam hutan yang asli atau liar. Manakala bapak dan/atau ibunya pula dikenali sebagai "ayam hutan selapis". 

Ayam Hutan Selapis. 

2) MUSIM MENGAWAN
Tempoh aktif mengawan atau membiak bagi Ayam Hutan Merah Asli diMalaysia adalah sekitar bulan Februari hingga May dan boleh berlanjutan sehingga ke bulan Ogos. Dengan kata lain, proses mengawan, bertelur dan mengeram bagi Ayam Hutan Asli hanya berlaku pada musim panas sahaja. Manakala bagi Ayam Hutan Kacukan, tempoh pembiakannya adalah sepanjang tahun.

3) STRUKTUR BULU


Ayam Hutan Asli yang mengalami keguguran bulu pada lehernya.

Ayam Hutan Asli mempunyai struktur bulu yang berkilat, kemas dan sempurna ketika musim mengawan. Selepas musim mengawan berlalu, sebahagian atau keseluruhan bulu tengkuk dan ekornya akan gugur dan warnanya juga akan kelihatan kusam, pudar dan tidak menarik. Manakala bagi Ayam Hutan Kacukan, struktur bulunya adalah hampir sama sepanjang tahun dan tidak mengalami keguguran bulu pada bahagian tengkuknya. Bagi Ayam Hutan Asli betina dewasa, warna keseluruhan bulu badannya adalah hijau gelap, manakala Ayam Hutan Kacukan betina, kebanyakannya memiliki bulu badan berwarna hijau cerah dengan gandingan warna merah kekuningan terutama sekali pada bahagian tengkuknya. Bagi anak Ayam Hutan Asli yang berusia sekitar 2-4 minggu, sayapnya adalah lebih panjang berbanding sayap anak Ayam Hutan Kacukan dan ianya kelihatan seakan-akan seperti burung puyuh. Anak Ayam Hutan Asli juga mampu terbang dengan ketinggian 1-3 meter seawal usia 1 minggu. Manakala bagi anak Ayam Hutan Asli yang baru menetas, ia juga gemar berlari-lari dan sukar untuk ditangkap berbanding anak Ayam Hutan Kacukan.


Anak Ayam Hutan berusia 1 minggu. Yang disebelah kiri, anak Ayam Hutan Kacukan. Manakala yang disebelah kanan, anak Ayam Hutan Asli.

4) WAJAH
Bentuk muka atau wajah Ayam Hutan Asli adalah sedikit berbeza berbanding dengan ayam hutan liar yang tidak asli atau ayam hutan kacukan. Ayam Hutan Asli memiliki kulit muka yang lembut, nipis dan ditumbuhi bulu muka yang halus.  Manakala ayam hutan yang tidak asli umumnya memiliki struktur kulit muka yang kasar dan bulu mukanya juga adalah lebih lebat dan kasar. Bentuk mata dan keseluruhan kelopak matanya merupakan salahsatu ciri-ciri asas bagi menilai samada ayam hutan liar yang diperolehi daripada hutan tersebut adalah asli atau pun tidak dan ianya sangat jelas ketara berbeza jika dibandingkan dengan ayam hutan kacukan. Untuk rujukan, sila perhatikan 2 gambar yang tertera paling atas.

Bentuk badan ayam hutan asli jantan.

5) BENTUK BADAN
Ayam Hutan Asli memiliki bentuk badan yang sangat ramping dan kelihatan seperti bola ragbi atau jantung pisang. Berat badannya pula adalah sekitar 600gram. Ayam Hutan Kacukan kebanyakannya memiliki saiz badan yang lebih besar dan tidak ramping. Berat badannya pula kebanyakannya melebihi 1kg. Bagi Ayam Hutan liar yang tidak asli, struktur rangka dan dadanya adalah lebih besar dan berat badannya pula adalah sekitar 700gram dan boleh mencapai sehingga hampir 1kg walaupun ciri-ciri lain yang ada padanya menyamai Ayam Hutan yang asli. Manakala ayam hutan yang dikacukkan dengan ayam Serama pula kebiasaannya akan lebih menyerupai Ayam Serama dan ianya tidak dikategorikan sebagai ayam hutan. Menurut keterangan seorang warga Indonesia yang berasal dari Surabaya, ayam hutan merah liar yang terdapat diIndonesia seperti diJawa, Sumatra dan kepulauan-kepulauan lain umumnya memiliki saiz badan yang lebih besar berbanding ayam hutan merah yang terdapat diMalaysia khususnya dibahagian pantai timur Semenanjung. 

6) SUARA
Bunyi kokokan Ayam Hutan Asli adalah lebih kecil, nyaring dan sangat pendek berbanding dengan Ayam Hutan Kacukan. Ayam Hutan Asli juga hanya aktif berkokok pada musim mengawan manakala Ayam Hutan Kacukan berkokok sepanjang masa.

7) BALUNG
Ayam Hutan Asli lazimnya mempunyai balung berjeriji 6, bersaiz kecil, nipis dan berbintik kecil. Saiz dan panjang jerijinya adalah tidak selari yang mana separuh daripada balung yakni 3 jeriji yang berdekatan dengan paruhnya bersaiz kecil berbentuk seperti 3 buah bukit dan separuh lagi bersaiz besar berbentuk seperti 3 buah gunung. Panjang balungnya juga tidak melepasi paras cuping telinga. Manakala Ayam Hutan Kacukan, Ayam Kampung atau ayam tempatan yang lain tidak memiliki balung seperti yang dinyatakan. Ayam Hutan liar yang mempunyai balung berjeriji selari seperti Ayam Hutan Kacukan atau Ayam Kampung dikhuatiri telah mengalami beberapa proses kacukan dengan ayam tempatan termasuk Ayam Hutan Kacukan atau denak yang terlepas. Keaslian ayam hutan yang memiliki balung seperti ini juga boleh dipertikaikan walaupun ianya hidup bebas didalam hutan. Walaubagaimanapun, perbandingan saiz balung adalah lebih utama daripada membandingkan bentuk jerijinya.

8) CUPING TELINGA
Cuping telinga Ayam Hutan Asli bersaiz kecil, berwarna putih solid dan padat. Strukturnya juga adalah lebih halus dan lembut berbanding cuping telinga Ayam Hutan Kacukan yang agak kasar dan mempunyai pelbagai saiz. Ayam Hutan liar yang mempunyai cuping telinga berwarna merah dianggap sebagai ayam hutan yang tidak sempurna. Cuping telinga berwarna putih merupakan "trademark" bagi Ayam Hutan Merah Malaysia.

9) KAKI
Kaki Ayam Hutan Asli adalah kurus dan lonjong. Sisik kakinya juga adalah kecil. Warna kakinya pula adalah kelabu kehitaman. Manakala Ayam Hutan Kacukan lazimnya mempunyai kaki dan sisik yang lebih besar berwarna kelabu atau hijau. Ayam Hutan Kacukan yang memiliki kaki berwarna kuning atau putih tidak dianggap sebagai Ayam Hutan. Ada juga pihak yang mendakwa bahawa spesis ayam hutan asli yang telah mencapai usia yang sangat tua akan memiliki kaki yang berwarna putih. Walau bagaimanapun, saya sendiri tidak pernah melihat atau menjumpai ayam hutan liar yang memiliki kaki yang berwarna putih termasuk induk yang telah mencapai usia yang sangat tua. Manakala ayam hutan yang dikacukkan dengan ayam Katik@Kapan pula lazimnya mempunyai saiz badan yang kecil dengan kaki yang lebih pendek.

Gambar yang tertera diatas adalah contoh ayam hutan liar yang berkaki putih. Ayam ini ditangkap oleh seorang pekerja estet disebuah ladang kelapa sawit. Gambar adalah sumbangan daripada seorang peminat ayam hutan dari negeri Johor.

10) TAJI
Taji Ayam Hutan Asli bersaiz kecil dan meruncing, manakala Ayam Hutan Kacukan mempunyai taji yang lebih besar dan kurang meruncing.

11) TAHAP KEJINAKAN
Ayam Hutan Asli adalah sukar untuk dijinakkan dan boleh dikatakan mustahil untuk memeliharanya secara lepas bebas. Manakala Ayam Hutan Kacukan atau Ayam Hutan Liar yang tidak asli masih boleh dijinakkan dan dipelihara secara terbuka.

12) DNA
Keaslian Ayam Hutan Merah Malaysia juga boleh dipastikan dengan melakukan ujian DNA dan ianya merupakan cara yang paling tepat sekali. Ujian DNA ini pula mestilah dilakukan oleh pihak yang diiktiraf oleh Jabatan Perhilitan Malaysia selaku badan yang mengawal hidupan liar khususnya diSemenanjung Malaysia.

Gambar yang tertera diatas adalah contoh Ayam Hutan Liar yang diragui keasliannya. Hampir kesemua ciri-ciri yang ada padanya menyamai Ayam Hutan yang asli. Hanya saiz badan dan balungnya sahaja yang agak besar. Ayam tersebut juga sedang mengalami keguguran bulu ekor namun tidak pada bulu lehernya. Gambar adalah ehsan daripada seorang penduduk kampung yang berjaya menjerat Ayam Hutan Liar ini dikawasan pinggir hutan berdekatan dengan rumahnya. Ayam ini dipercayai berkemungkinan adalah hasil kacukan atau silangan daripada Ayam Hutan Kacukan dan Ayam Hutan Asli atau keturunan diantaranya. Walau bagaimanapun, status keaslian Ayam Hutan Liar seperti ini masih menjadi perdebatan diantara peminat-peminat ayam hutan.

Contoh ayam hutan liar yang asli. Dianggarkan berusia sekitar 8 bulan atau kurang 1 tahun berdasarkan saiz tajinya yang tajam sepanjang 1cm. Memiliki bentuk muka dan kepala yang sempurna dengan saiz badan, balung dan cuping telinga yang kecil. Ayam tersebut juga sedang mengalami keguguran bulu pada bahagian ekor dan lehernya.

Contoh ayam hutan liar jantan muda yang tidak asli. Dianggarkan berusia sekitar 4-5 bulan. Memiliki bentuk kepala seperti ayam kampung dan corak warna merah pada bulu sayapnya juga tidak sempurna. Saiz badannya pula adalah lebih besar sedikit daripada seekor induk ayam hutan yang asli.

Contoh ayam hutan kacukan.

Nota: Gambar pertama dan kedua yang paling atas adalah contoh kepala Ayam Hutan Merah Malaysia. Gambar pertama adalah Ayam Hutan Kacukan, manakala gambar kedua adalah Ayam Hutan Asli. Walaubagaimanapun, balung Ayam Hutan Asli tersebut telah mengalami kerosakan yang agak serius pada bahagian pangkalnya dan hampir tercabut. Justeru itu, pertumbuhan balungnya menjadi tidak sempurna sepertimana yang anda lihat didalam gambar tersebut. Untuk maklumat lanjut dan gambar-gambar lain, sila lihat pos yang bertajuk Ayam Hutan Asli, Ayam Hutan Maroon, Ayam Hutan Putih dan Ayam Hutan Denak.

Note: This article contains a street language of Bahasa Malaysia. Translation to other language may not accurate.


© 2014- Uniaga Aviary. Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan dan penerbitan semula artikel ini samada sebahagian atau keseluruhan, dengan atau tanpa modifikasi dan tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik adalah dilarang sama sekali. 


3 comments:

  1. Salam. Adakah perlu untuk kita dapatkan lesen pemeliharaan ayam jenis 'ayam hutan kacukan' daripada pihak Perhilitan? Jenis ayam peliharaan saya sama seperti gambar paling bawah. Ciri-cirinya, balung bersaiz besar berwarna merah, bulu leher lebat dan tiada yang gugur. Tiada bulu ekor berwarna kuning di sisinya. Ia mempunyai cuping telinga berwarna putih. Sekian, terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wslm. Yg perlu lesen ayam hutan liar yakni yg berasal atau hidup kat hutan tu. Yg kacuk xperlu lesen. Yg jd masalah adalah yg selapis sbb masih separuh berdarah asli, rupa & karakternya hampir menyamai yg asli.

      Delete