21:19
2

DiMalaysia, ayam Turkey dipanggil ayam Belanda, Turki atau Piru. Ayam jenis ini dipercayai berasal dari Holland dan telah dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh penjajah Belanda semasa zaman pemerintahan kesultanan Melaka. Keunikan ayam ini terletak pada kepalanya yang mempunyai belalai seakan-akan seperti gajah. Selain daripada itu, ia juga mampu mengembangkan bulu badannya dan ekornya juga boleh dikembangkan sebagaimana burung merak. Ayam belanda mempunyai tahap pendengaran yang jauh lebih baik dari manusia dan sangat sensitif dengan bunyi yang bernada tinggi seperti bunyi dari siren ambulan, wisel, kapal terbang dan sebagainya. Selain daripada itu, ia juga amat sensitif dengan persekitaran seperti kehadiran pemangsa, manusia atau haiwan yang tidak dikenalinya.

Variasi
Terdapat pelbagai jenis atau variasi warna ayam belanda. Antaranya Royal Palm, Red Bourbon, Sweetgrass, Bronze, White Holland, Narragansett, Black Spanish, Porcelain, Chocolate, Buff dan pelbagai lagi. Nama-nama variasi ayam ini diambil sempena warna dan corak bulunya. Dalam banyak-banyak variasi tersebut, Royal Palm dan Bronze merupakan antara variasi yang menjadi pilihan bagi kebanyakkan peminat ayam belanda hiasan kerana corak warnanya yang sangat menarik berbanding variasi yang lain. Terdapat juga ayam belanda liar yang hidup didalam hutan dinegara-negara tertentu.

Saiz
Secara umumnya, saiz ayam belanda adalah besar berbanding kebanyakkan ayam domestik yang lain. Berat badan bagi yang jantan dewasa kebanyakkan yang ada diMalaysia adalah sekitar 10-15kg dan ianya dianggap sebagai ayam belanda yang bersaiz besar atau biasa. Manakala ayam belanda jantan yang berat dewasanya tidak mencapai 10kg dikategorikan sebagai ayam belanda yang bersaiz kecil. Kewujudan ayam belanda yang bersaiz kecil ini mungkin berpunca daripada hasil penetasan telur peringkat pertama yang mana kebiasaannya bersaiz kecil. Dinegara-negara barat terutamanya diAmerika, ayam belanda yang dibiak khusus untuk tujuan komersial lazimnya mempunyai berat badan sekitar 20kg atau lebih dan ada diantaranya yang boleh mencapai berat sehingga 40kg terutamanya daripada baka Broad-breasted Bronze atau Broad-breasted White yang mana kedua-duanya adalah baka yang dipertingkatkan daripada variasi Bronze dan White. Namun kedua-dua baka dada besar ini tidak mampu mengawan secara semulajadi. Justeru itu para penternak ayam tersebut menggunakan kaedah pemandian berhadas atau menggunakan simulator bagi proses penghasilan benih. Ayam belanda baka dada besar ini juga mempunyai daya ketahanan melawan penyakit yang agak lemah dan mudah mengalami penyakit lumpuh akibat ketidakmampuan kakinya menampung bebanan berat badan yang melampau. Justeru itu, ia memerlukan penjagaan yang intensif dan kebanyakannya diternak khusus untuk dimanfaatkan dagingnya semata-mata. Daging ayam belanda juga mempunyai tahap kolestrol yang lebih rendah berbanding ayam daging biasa. Apa yang uniknya, paha ayam belanda juga mengandungi beberapa struktur tulang nipis yang seakan-akan seperti tulang sotong bersaiz kecil, yang mana tidak terdapat pada spesis ayam yang lain.

Pembiakkan
Selain daripada baka Broad-breasted, semua ayam belanda boleh mengawan secara semulajadi. Walaubagaimanapun, saiz badan yang jantan dan pasangan betinanya mestilah tidak jauh berbeza. Sebagai contoh, sekiranya yang jantan mempunyai saiz badan yang besar dengan berat melebihi 10kg dan pasangan betinanya pula mempunyai berat badan kurang daripada 3kg, ada kemungkinan yang proses mengawan tidak dapat dilakukan dengan sempurna, bahkan boleh mendatangkan kecederaan yang serius pada bahagian belakang ayam betina tersebut dan kadang-kadang boleh berakhir dengan kematian. Jarak yang sesuai bagi berat badan antara yang jantan dan betina adalah sekitar 3-5kg sahaja. Manakala tempoh matang bagi ayam belanda adalah sekitar 7-9 bulan. Semasa proses mengawan berlaku, yang jantan akan mengembangkan bulunya dan mengeluarkan bunyi "chee" atau kedengaran seperti bunyi blow-off enjin kereta turbo bagi memikat yang betina. Ada juga ayam belanda betina yang mempunyai sifat agresif dengan mengembangkan bulu badannya dan berlaga dahulu dengan pasangannya sebelum ia menyerah diri. Kadang-kadang proses berlaga ini boleh berlaku satu hari suntuk dan berlanjutan sehingga keesokan hari sebelum yang betina tersebut bersedia untuk mengawan. Yang betina akan mula bertelur selepas kira-kira 10 hari dari tarikh mengawan. Kemampuan untuk menghasilkan jumlah telur pula bergantung kepada tahap kesuburan, genetik, kesihatan dan kualiti pemakanan. Kebiasaannya ayam belanda betina mampu mengeluarkan telur sebanyak 10-17 biji bagi setiap pusingan dan boleh membiak sepanjang tahun. Tempoh pengeraman telur-telurnya pula akan mengambil masa selama 26-28 hari.

Note: This article contains a street language of Bahasa Malaysia. Translation to other language may not accurate.

© 2014 Uniaga Aviary. Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan dan penerbitan semula artikel ini samada sebahagian atau keseluruhan, dengan atau tanpa modifikasi dan tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik adalah dilarang sama sekali.

2 comments:

  1. Terima kasih atas maklumat yg amat bermakna..moga sukses d di murahkan rezeki

    ReplyDelete
  2. Ia bukan berasal dari Belanda.

    ReplyDelete