12:26
2

Ayam Hutan Merah Malaysia yang asli telah diketahui sangat sukar untuk dipelihara didalam kurungan, apatah lagi untuk dijinakkan, lebih-lebih lagi yang tinggal didalam hutan belantara dan jauh dari penempatan manusia. Manakala yang tinggal dipinggiran hutan seperti dikawasan penduduk kampung atau ladang-ladang kelapa sawit adalah lebih mudah untuk dipelihara didalam kurungan dan dijadikan haiwan hiasan. Mungkin disebabkan mereka dah terbiasa melihat kelibat manusia walaupun sebahagian besarnya masih lagi takut bila terserempak dengan manusia dan akan terbang atau lari bertempiaran seolah-olah mereka baru sahaja melihat hantu yang menyeramkan yangmana mungkin akan meragut nyawa mereka, apatah lagi yang dilihatnya itu adalah "hantu pikat". Walau bagaimanapun, keaslian ayam hutan yang tinggal dipinggiran hutan yang juga diistilahkan sebagai ayam hutan kebun ini agak sukar untuk ditentukan kesahihannya disebabkan kemungkinan adanya percampuran diantara ayam hutan yang asli dan ayam hutan kacukan atau ayam-ayam daripada jenis yang lain yangmana banyak dipelihara oleh penduduk kampung khususnya daripada jenis ayam kampung, ayam kapan/katik dan sebagainya.

Bagi yang baru berjinak-jinak untuk memelihara ayam hutan merah liar yang diperolehi dari hutan, disini saya ingin berkongsi tips tentang cara-cara memelihara ayam hutan liar yang asli yangmana mungkin boleh membantu anda dalam menangani karenah ayam hutan liar ini.

Keperluan Lesen Memburu Ayam Hutan
Perlu diketahui bahawa ayam hutan merah asli/liar adalah termasuk haiwan yang dilindungi diMalaysia. Jadi, sebelum anda cuba mendapatkan ayam hutan tersebut begitu juga dengan telur-telurnya, anda haruslah terlebih dahulu mendapatkan lesen memburu ayam hutan daripada Jabatan Perhilitan negeri masing-masing. Kos lesen memburu biasanya dalam RM10 sahaja seekor. Kalo nak buru banyak ekor sebagai contoh 10 ekor, anda perlu memohon lesen memburu untuk 10 ekor dengan kos lesen adalah sebanyak RM100. Dapat tak dapat ayam tu, tu korang punya pasal, yang pasti duit bayaran lesen tu dah kira hangus masuk kat kantung kerajaan. Kalau korang mohon lesen untuk 2-3 ekor, pastu korang balung sampai 5-6 ekor, yang lebih tu kira korang dah memburu secara haram jadah. Kalau kantoi, tak pasal-pasal korang pulak yang kena "dipelihara kat dalam sangkar besi" dan mungkin juga kena blacklist dengan Perhilitan. Lesen tu dikeluarkan dari bulan Mac hingga bulan Ogos setiap tahun. Maknanya setiap lesen tu memiliki tempoh sah sehingga 31hb Ogos bagi tahun yang sama sahaja. Proses untuk mendapatkan lesen tu biasanya on the spot. Tu pun kalau korang mohon kat ibu pejabat Perhilitan negeri masing-masing. Kalau mohon kat pejabat Perhilitan daerah atau cawangannya, prosesnya mungkin lambat sedikit. Dah dapat lesen tu, korang bolehlah bermaharajalela kat port-port yang ada ayam hutan kecuali kat kawasan-kawasan hutan yang dilindungi seperti Sanktuari Hidupan Liar, Taman Negara dan lain-lain sepertimana yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perhilitan. Bila dah dapat lesen tu, korang bolehlah menyiapkan keperluan untuk memburu ayam hutan.

Kelengkapan Memburu Ayam Hutan
Antara barang-barang yang selalu digunakan untuk memburu ayam hutan adalah seekor ayam hutan denak@pikat dan juga racik ayam hutan. Jumlah mata racik dan racik tu sendiri bergantung kat cara atau teknik korang memasang racik tersebut. Ada yang memasang secara bulat mengelilingi denak, ada yang dipasang separuh bulat atau D yang biasa dipasang dekat pangkal pokok kelapa sawit, dipasang secara melintang/lurus (biasa digunakan untuk menjerat ayam hutan liar yang mengelilingi denak dan enggan berlaga.. "ayam xnak masuk" mengikut bahasa rasmi pemikat ayam hutan, dengan berlapis-lapis, atas pokok dan pelbagai cara lagi. Selain daripada itu, korang juga boleh menggunakan pelbagai jenis jerat tradisional dengan atau tanpa menggunakan denak ayam hutan. Penggunaan sumpit, panah, senapang angin dan senapang patah tidak digalakkan kecuali hasil buruan tersebut hanya digunakan untuk sajian sahaja. Tapi ingat, penggunaan senapang angin dan senapang patah tu tertakluk kepada akta senjata api. Kelengkapan lain termasuk pakaian yang sesuai seperti yang berwarna hijau daun atau yang mirip pakaian tentera darat (tp awas.. kan tak pasal-pasal kena tangkap sebab dituduh menyamar sebagai tentera - tu pun kalau anda bukan seorang tentera). Parang pun perlu dibawa bersama jugak sebagai persediaan jika terserempak dengan binatang buas atau digunakan untuk memotong tali racik sekiranya racik tersebut terkena haiwan yang merbahaya atau sukar untuk dilepaskan. Sebaik-baiknya parang tu tidak digunakan untuk menebas semak atau menebang pokok kerana dikhuatiri kewujudan anda dikawasan tersebut diketahui oleh ayam hutan liar yang sememangnya sentiasa peka terhadap persekitarannya. Peralatan tambahan lain termasuk audio suara kokok atau suara mengekek ayam betina yg baik bagi merangsang denak yang enggan atau malas berkokok. Ada juga yang menggunakan sejenis serunai khas yang boleh mengeluarkan bunyi seperti suara ayam hutan betina mengekek. Penggunaan kelambu khas juga diamalkan oleh sebahagian pemikat ayam hutan bertujuan untuk memantau daripada jarak dekat dan berada sehampir mungkin dengan denak yang ditahan selain menghindari masalah gigitan nyamuk.

Cara Memasang Racik
Sebelum racik dipasang, anda perlu mencari kawasan yang sesuai sebagai tempat untuk memasang racik. Anda juga perlu memastikan lokasi yang sesuai sebagai tempat untuk anda menyorok dan membuat pemantauan. Antara kawasan yang sesuai dijadikan sebagai tempat untuk memasang racik adalah dikawasan yang sedikit lapang, terdapatnya bekas cakaran kaki ayam, struktur tanah yang tidak terlalu lembut, bukan diatas laluan babi, tiada haiwan liar seperti kera, babi, biawak dan lain-lain, tiada halangan penglihatan daripada lokasi pemantauan anda dan sebagainya. Lokasi pemantauan tu sebaik-baiknya ditutup dgn ranting-ranting pokok atau boleh juga menggunakan pelepah daun kelapa sawit disekeliling tempat anda menyorok. Tujuannya untuk menghalang penglihatan ayam yang datang dari arah belakang kita atau yang terbang bertenggek diatas dahan pokok. Tempat pemasangan racik pula sebaik-baiknya dikawasan yang terdapat rumput hijau atau rumput kering yang seiras dengan warna tali racik yangmana boleh mengaburi pandangan mata ayam. Jarak diantara mata racik dan denak mestilah melebihi panjang tali kaki ayam dengan kaki dan kepala ayam hutan denak tidak mampu menyentuh mata racik ketika ia berlaga dengan ayam hutan liar. Jumlah mata racik bagi teknik pemasangan bulat kebiasaannya adalah sekitar 32 mata atau lebih, manakala teknik pemasangan berbentuk D adalah sekitar 17 mata atau lebih. Sekiranya jumlah mata racik tidak mencukupi, anda boleh menggunakan kayu untuk dipacak sebagai halangan laluan. Pemasangan mata racik juga boleh dilakukan secara keseluruhan atau anda menjatuhkan satu mata racik sebagai laluan untuk ayam hutan liar masuk merapati ayam denak untuk berlaga. Cara ini boleh menghindari sesetengah ayam hutan liar yang dah cerdik pandai dan enggan masuk berlaga kerana dikhuatiri kakinya akan tersangkut kat tali racik khususnya ayam-ayam yang dah pernah terkena tali racik tetapi berjaya melepaskan dirinya.

Cara Mengendali Ayam Hutan Yang Diperolehi
Bila ayam hutan liar tu dah terkena racik atau jerat, korang perlu memegang kedua-dua belah kaki atau kedua-dua belah bahu sayapnya dan seboleh-bolehnya cuba tutup pandangan matanya sehingga ia berhenti meronta serta mengikat kedua-dua belah kakinya dengan menggunakan cable tie jenis plastik atau tali yang sesuai sebelum dimasukkan kedalam beg yang gelap gelita (org Ganu cakap gelap gelemak), tetapi beg tersebut perlulah ada ruang udara keluar masuk untuk ayam tersebut bernafas. Antara tip untuk mengetahui samada ayam yang diperolehi tersebut mampu hidup didalam kurungan atau pun tidak, korang bolehlah mengusap kepalanya dan cuba menutup kedua-dua belah matanya beberapa kali dengan menggunakan jari korang sendiri. Sekiranya dia layan perbuatan korang tu dan menurut kehendak korang untuk menutup matanya tu, maka harapan untuk memelihara dan peluang untuk dia hidup didalam kurungan adalah lebih cerah. Sebaik-baiknya korang cuba berinteraksi melalui matanya dan mendapatkan kepercayaan daripadanya bahawa yang korang ni adalah orang yang baik-baik dan bukan bermaksud untuk mencabut nyawanya. Kalau tiba-tiba dia mintak anda tolong lepaskannya, haaa... gunalah budibicara korang sendiri. Tapi kalo dia mintak ampun maaf.. "cucu xsengaja nak berlaga dengan ayam denak tok tu", haa.. siaplah korang.. blh demam senggugut terus siap taubat xnak main pikat ayam hutan lagi dah. Hahahaa... Sebaik-baiknya, ayam hutan yg dah jadi induk dan memiliki ciri-ciri ayam hutan yang asli tu eloklah dilepaskan kembali agar ia dapat menyambung generasinya dengan terus membiak dan menghasilkan keturunan yang baik-baik. Jangan dibalung kesemuanya. Tinggalkan sebahagiaannya untuk ayam-ayam ni membiak dikawasan yang berkenaan. Kalo ada kesangsian akan keaslian ayam yang diperolehi tu, elok disembelih je untuk buat lauk. Sedap pun sedap. Duk dalam hutan pun buat rosak baka je. Ada pihak yang mendakwa 70% ayam hutan liar yang ada kat dalam hutan Malaysia ni adalah tidak asli. Tak pasti pulak saya daripada mana diorang dapat fakta ni. Nak kata dia cek sekor-sekor kat hutan tu tak lojiklah pulak kan. Tapi ada jugak kebenarannya tu sebab ramai para pemikat yang memperolehi ayam hutan yang dah tak berapa nak asli khususnya yang tinggal diladang-ladang kelapa sawit dan pinggiran kampung-kampung. Ada yang rupa dah macam ayam kampung atau ayam kapan dan ada pula yang memiliki warna yang bukan ciri-ciri ayam hutan merah asli, bahkan ada yang berwarna kurik atau rinting. Walau bagaimanapun, kebanyakannya adalah lebih mirip kepada ayam hutan selapis. Negeri-negeri dibahagian selatan dan barat Semenanjung merupakan antara kawasan-kawasan yang paling banyak terjejas dengan kehadiran spesis ayam hutan liar yang tidak asli.


Ayam hutan asli jantan didalam reban setinggi 15 kaki, tiada sebarang kecederaan dibahagian kepala termasuk balungnya. *Pic diambil secara close-up dengan menggunakan tangga.

Penyediaan Reban
Selepas ayam tersebut dibawa kerumah, korang perlulah meletakkannya didalam reban yang sebaik-baiknya bersaiz besar, tinggi dan separuh beratap. Ketinggian reban adalah penting bagi mengelak kecederaan pada bahagian balungnya sewaktu ia cuba melompat atau terbang untuk melepaskan diri. Contoh saiz reban yang ideal adalah 10 kaki lebar x 20 kaki panjang x 15-20 kaki tinggi. Lagi besar lagi baik. Ada baiknya sebahagian reban tersebut dilitupi jaring nylon hitam, kain, canvas, daun pelepah sawit atau apa-apa yang sesuai bagi menghalang penglihatan ayam tersebut daripada kelibat manusia termasuk anda sendiri. Sediakan juga port-port untuk ayam tersebut menyorok tatkala ia merasa takut khususnya bilamana ia melihat anda atau orang lain. Boleh juga guna daun pelepah sawit atau lain-lain bahan untuk membuat port-port tersebut. Reban tersebut juga perlu diisi dengan seekor atau lebih ayam hutan kacukan yang jinak samada anak kecil atau yang betina untuk menemaninya. Tujuannya adalah untuk mengajar ayam hutan liar tersebut makan dan minum didalam kurungan selain mengurangkan tekanan jiwa yang dihadapinya tu. Selain daripada itu, korang perlu meletakkan makanan harian yang biasa digunakan untuk ayam peliharaan seperti dedak ayam pedaging, jagung, padi, beras atau nasi dan dicampurkan dengan makanan asasi ayam hutan liar tersebut seperti buah kelapa sawit, cacing tanah, ulat burung, anai-anai, belalang, lipas, cengkerik dan sebagainya. Air minuman juga perlu diletakkan didalam reban. Kebiasaannya ia tidak akan makan dan minum pada hari pertama kurungan, namun akan mula menjamah makanan semulajadinya pada hari kedua atau ketiga. Sekiranya ia masih tidak makan dan minum pada hari ketiga tetapi kelihatan seperti dah jinak, ada kemungkinan ayam tersebut akan mati. Sebenarnya keadaannya itu adalah disebabkan staminanya yang semakin lemah kerana kebiasaannya binatang liar tidak akan memperlihatkan dirinya sedang sakit atau lemah kecuali ia tidak lagi sanggup untuk menangani sakit yang ada pada dirinya. Ada juga yang akan membunuh diri dengan cara melanggar dinding reban dan meronta-ronta seekor diri. Jika ayam hutan anda kelihatan semakin lemah setelah beberapa hari berada didalam kurungan, nasihat saya adalah lebih baik sekiranya ayam hutan liar tersebut dilepaskan semula kehabitat asalnya sebelum keadaan dirinya menjadi lebih parah. Jika bernasib baik, ia mungkin boleh pulih seperti sediakala dan anda boleh mencuba untuk mendapatkannya semula dilain hari atau cuba dapatkan yang lain.

Cara kedua adalah dengan mengurungnya seekor diri didalam sangkar kecil seperti sangkar yang digunakan untuk burung tekukur. Sangkar ini perlu ditutup keseluruhannya dengan kain, diletakkan makanan & minuman secukupnya dan dibiarkan untuk tempoh 3 hari atau lebih. Selepas tempoh tersebut, anda bolehlah membuka sebahagian kain dan dibiarkan separuh terbuka. Sekiranya ayam tersebut masih hidup dan makanan/minumannya berkurangan, ini bermakna peluang untuk dia hidup didalam kurungan adalah cerah. Tahap bukaan kain penghadang tersebut juga mestilah dibuat secara beransur-ansur sehingga ia dibuka sepenuhnya atau dibuang terus. Lokasi sangkar sebaik-baiknya diletakkan dikawasan yang ianya boleh melihat kelibat manusia dari jarak jauh dan seterusnya didekatkan sedikit demi sedikit hari demi hari sehingga ianya tidak lagi merasa gampang bilamana melihat anda. Cara ini adalah untuk menjinakkannya atau sekurang-kurangnya menghilangkan rasa takutnya terhadap anda sekeluarga. Walau bagaimanapun, cara ini agak berisiko dan potensi untuk melihat kepalanya tercedera atau ajalnya berakhir adalah tinggi. Jika ia masih hidup pun, ada kemungkinan yang balungnya akan rosak atau jatuh dan keadaan itu berkemungkinan besar akan kekal sepanjang hayatnya.

Diharap tip yang tak seberapa ini dapat membantu anda dalam menanggani karenah ayam hutan liar. Sekian, terima kasih.

*Gambar yang tertera paling atas adalah sumbangan seorang pemikat ayam hutan dari Melaka. Denak yang digunakan adalah berasal dari Terengganu dan tidak pernah dilatih untuk dijadikan denak.

Note: This article contains a street language of Bahasa Malaysia. Translation to other language may not accurate.


© 2019- Uniaga Aviary. Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan dan penerbitan semula artikel ini samada sebahagian atau keseluruhan, dengan atau tanpa modifikasi dan tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik adalah dilarang sama sekali.

Next
This is the most recent post.
Older Post

2 comments:

  1. bang, ni baru umur 13 tahun .boleh ke saya ambik lesen memburu.satu keluarga saya ada lesen memburu ayam hutan

    ReplyDelete